Pelaburan Amazon, Tesla tingkat kemahiran pekerja tempatan - Utusan Malaysia

Pelaburan Amazon, Tesla tingkat kemahiran pekerja tempatan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ dan Che Khalib Mohamad Noh menunjukkan trofi Anugerah Kecemerlangan Industri 2024 di Johor Port, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaburan syarikat asing terkemuka dunia seperti Amazon Web Services (Amazon) dan Tesla berupaya meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan apabila turut menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemasukan pelaburan dua syarikat gergasi itu turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan setempat serta industri rangkaian.

“Amazon telah beri komitmen untuk membuat pelaburan berjumlah RM25.5 bilion hingga tahun 2037, terutamanya dari segi infrastruktur digital dan pusat data. Ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan juga limpahan ekonomi kepada negara.

“Sementara itu, pelaburan Tesla pula dibantu dengan kekuatan ekosistem sektor elektrik dan elektronik (E&E) dalam negara dan juga hakikat Malaysia merupakan pengeluar konduktor ketujuh dunia, sekali gus menyokong teknologi pembuatan kenderaan elektrik (EV).

“Oleh itu, kerajaan melihat kedua-dua pelaburan ini sebagai pelaburan yang sangat positif kepada negara ekoran limpahan ekonomi yang akan dihasilkan kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan,
Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Pengerusi Johor Port Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut memberitahu, Malaysia khususnya Johor terus menunjukkan trend pelaburan positif sepanjang tahun ini daripada segi eksport dan pelaburan langsung asing (FDI).

Dalam pada itu, beliau berkata, bencana banjir yang semakin kerap melanda negara, khususnya di beberapa negeri tidak memberi impak negatif terhadap syarikat asing untuk terus membuat pelaburan berskala besar pada masa depan.

Ini kerana, katanya, kebanyakan kawasan bencana tidak melibatkan zon perindustrian antarabangsa dan Malaysia masih kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan antarabangsa.

“Situasi banjir memang kerajaan akan pantau, daripada segi impaknya terhadap pelaburan tidak ada (kesan negatif) kerana kita dapat lihat kawasan perindustrian dan juga kawasan terkesan tidak banyak melibatkan situasi di mana pelaburan terjejas.

“Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang dan sederhana, kita bersama-sama pihak industri sentiasa membuat sesi libat urus bagaimana untuk membantu, kerajaan tidak ambil ringan bencana banjir yang berlaku ini,” katanya.

Mengenai AKI 2024, Tengku Zafrul memberitahu, sebanyak 14 kategori terdiri daripada lapan kategori utama, iaitu Sektor Pembuatan (tiga kategori), Sektor Perkhidmatan (empat kategori) dan Kategori Terbuka akan dipertandingkan.

Kategori-kategori lain Ialah Syarikat Paling Berpotensi, Industry4WRD dan terkini, dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Kecemerlangan Produktiviti (tiga kategori) dan Anugerah Kecemerlangan ESG. Para pemenang kategori utama akan bersaing untuk Anugerah Perdana Menteri yang merupakan pengiktirafan tertinggi diberikan oleh kerajaan kepada industri. Tahun lalu, Anugerah Perdana Menteri dimenangi Johor Port Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN