PETALING JAYA: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) akan menggembleng kempen Takaful-4-All (T4A) serta-merta sebagai pusat pengumpulan barang keperluan bagi mangsa banjir terutamanya di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Radzuan Mohamed berkata, pusat pengumpulan berkenaan akan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah selaras dengan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40.
Justeru itu, menurut beliau MTA akan menggerakan industri takaful secara kolektif dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir melalui kempen berkenaan.
“MTA menyeru semua pengendali Takaful untuk menyokong usaha ini dan menyumbang kepada inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Radzuan berkata, meskipun kesiapsiagaan jentera kerajaan digerakkan dengan pantas, gerak kerja pembersihan dan penempatan semula masih memerlukan kos dan tenaga kerja yang tinggi.
Katanya, MTA menumpukan kepada empat keutamaan melalui Kempen T4A antaranya mengumpul barang barang keperluan dan bersedia membawa pasukan T4A bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan bantuan ke kawasan terjejas.
Sementara itu, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) turut menawarkan pelbagai sokongan dan bantuan khas kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir.
Katanya, antara bantuan khas banjir yang disediakan termasuk bantuan bayaran balik bersasar dan penggantian kad secara percuma dan para pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak bank untuk membuat permohonan bantuan yang berkaitan.
“Pelanggan yang memerlukan bantuan dinasihat untuk mengutamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu serta menghubungi pihak bank masing-masing untuk berunding dengan pegawai bank yang sahih berhubung isu perbankan mereka yang mungkin terkesan akibat banjir ini.
“Ini amat penting untuk mengelakkan para pelanggan daripada terpedaya dengan penipuan kewangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab dan akses perkhidmatan perbankan asas akan terus disediakan seperti urusan di kaunter dan mesin layan diri,” katanya.
AIBIM turut memaklumkan cawangan bank yang terjejas akibat banjir akan dikemaskini dari masa ke semasa dan sebagai alternatif, pelanggan dinasihat menggunakan perkhidmatan perbankan atas talian untuk urusan perbankan. – UTUSAN