Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kembali terima pelancong

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kembali terima pelancong antarabangsa

RAVEN Kumar (berjaket hitam) dan Kenedy Ayu (dua dari kiri) menyambut ketibaan pelancong China melalui penerbangan terus di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kembali menerima ketibaan pelancong antarabangsa melalui penerbangan terus antara Johor Bahru-China bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., Kennedy Ayu berkata, laluan itu melibatkan penerbangan AirAsia AK1395, iaitu perkhidmatan tanpa henti dari Guangzhou, China ke Johor Bahru.

Pihaknya amat berbesar hati menyambung kembali penerbangan laluan antarabangsa antara kedua-dua lokasi.

“Penerbangan yang tiba dari Guangzhou melalui AirAsia pada pukul 6.55 pagi ini adalah penyambungan semula penerbangan antarabangsa sulung kami dan kami amat berbesar hati untuk menyambut 110 penumpang pertama kami. Lapangan Terbang Antarabangsa Senai merupakan pintu masuk penerbangan untuk Iskandar Malaysia yang kini merupakan antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia.

“Lapangan ini mempunyai 16 destinasi yang disambungkan ke bandar domestik dan empat bandar rantau Asia Tenggara, iaitu Jakarta, Surabaya, Bangkok dan Bandar Ho Chi Minh,” katanya selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar menyambut ketibaan penerbangan pertama China ke Johor Bahru selepas pandemik Covid-19, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat memberitahu, pihaknya telah menerbangkan seramai 10,000 pelancong China ke negara ini selepas syarikat itu menyambut semula penerbangan laluan antarabangsa antara kedua negara, bulan lalu.

Katanya, jumlah pelancong yang ramai dari negara Tembok Besar itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi tumpuan pelancong negara tersebut.

“Kami berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Johor Bahru ke destinasi antarabangsa selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia beberapa tahun lalu.

“Kami juga akan terus mengembangkan rangkaian penerbangan ke dan dari China sebagai tindak balas kepada permintaan perjalanan yang semakin meningkat, terutamanya apabila negara itu membuka semula sempadannya kepada pelancong bulan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×