Krisis SVB jejaskan bank, saham global

Krisis SVB jejaskan bank, saham global

SAHAM-saham bank global terjejas berikutan kebimbangan krisis kewangan Amerika Syarikat termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON/SINGAPURA: Gelombang kejutan daripada kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) menggegarkan saham-saham bank global semalam, selepas jaminan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan penggubal dasar lain tidak banyak membantu menenangkan pasaran.

Usaha Biden untuk meyakinkan pasaran dan pendeposit dengan memberi mereka akses kepada pembiayaan tambahan, gagal menghilangkan kebimbangan pelabur tentang potensi penularan krisis kepada bank-bank lain di seluruh dunia.

Pasaran saham Asia merosot dengan saham kewangan di Tokyo mendahului kerugian, berikutan kebimbangan terhadap krisis perbankan AS.

Nikkei Jepun turun 2.2 peratus, manakala indeks bank Bursa Saham Tokyo jatuh lebih daripada tujuh peratus, meletakkan­nya di landasan untuk penurunan paling teruk dalam hampir enam bulan, lapor Reuters.

Saham bank di Singapura dan Australia turut jatuh. Saham Hong Kong dalam HSBC dan Standard Chartered turun lebih daripada lima peratus.

Pasaran kekal bimbang berikutan kejatuhan SVB minggu lalu dan ke­gagalan Signature Bank New York pada hujung minggu, walaupun selepas kerajaan AS mengambil langkah untuk me­ningkatkan keyakinan sistemik.

“Operasi bank telah bermula (dan) pasaran antara bank menjadi tertekan,” kata Damien Boey, ketua strategi ekuiti di bank pelaburan Barrenjoey berpangkalan di Sydney.

Beliau berkata, boleh dikatakan langkah kecairan sepatutnya menghentikan dinamik ini tetapi umum telah menonton berita dan berbaris tunggu gilir.

“‘Perlumbaan’ sengit untuk jangkaan kenaikan semula kadar faedah juga membawa pasaran melalui gelombang kerana pelabur bertaruh Rizab Persekutuan (Fed) AS keberatan untuk menaikkan (kadar faedah) ming­gu depan,” katanya.

Menurut Reuters, pedagang pada masa ini melihat peluang 50 peratus untuk tiada kenaikan kadar pada mesyuarat tersebut. Awal minggu lepas, pedagang menjangkakan kenaikan 25 mata asas, namun kini 70 peratus melihat peluang kenaikan adalah sebanyak 50 mata asas.

Dengan pelabur bimbang kegagalan tambahan, bank utama AS dilaporkan kerugian kira-kira AS$90 bilion dalam nilai pasaran saham pada Isnin, menjadikan kerugian mereka sepanjang tiga sesi dagangan lalu kepada hampir AS$190 bilion.

Di Eropah, indeks perbankan STOXX ditutup 5.7 peratus lebih rendah dengan Commerzbank Jerman jatuh 12.7 peratus dan Credit Suisse merosot 9.6 peratus ke paras terendah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata, tiada kebimbangan mengenai risiko sistemik pada sistem perbankan di negara berkenaan, mengambil kira SVB merupakan entiti yang lebih kecil di sana.

“Bank kami mempunyai permodalan yang baik, kecairan kukuh,” kata Sunak kepada ITV semasa lawatan ke AS.

Di China pula, di mana SVB merupakan bank asing utama bagi majoriti syarikat pemula, usahawan dan dana teroka juga berebut untuk mendapatkan pembiayaan alternatif. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN