PH Selangor yakin hadapi gelombang kerjasama BN-PN

PH Selangor yakin hadapi gelombang kerjasama BN-PN

ABBAS Azmi menyantuni anak muda sempena program tayangan skrin besar final Piala Dunia 2026 di Sri Serdang, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Pakatan Harapan (PH) Selangor langsung tidak gentar dengan trend kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, beliau menjangkakan corak kerjasama itu boleh merebak ke setiap negeri selepas ini termasuk di Selangor.

Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Serdang berkata, trend kerjasama itu akan berlarutan dan mungkin ia akan turut berlaku di PRN Melaka nanti.

“Ia (kerjasama politik BN dan PN) akan berlarutan. Kita lihat corak itu sudah ada dan akhirnya ia akan pergi ke semua negeri,” katanya ketika ditemui pada program tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2026 peringkat DUN Sri Serdang, awal pagi tadi.

Katanya, jika ada mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Selangor yang tidak lagi sehaluan dengan aspirasi kerajaan negeri, mungkin mereka tidak perlu terus berada dalam kerajaan.

Abbas berkata, Kerajaan Perpaduan Selangor pada hari ini masih kukuh dan mempunyai sokongan yang mencukupi untuk meneruskan pentadbiran.

“Jika BN mengambil sikap untuk keluar daripada kerajaan negeri, kami yang masih kekal akan terus menjadi tonggak pentadbiran dengan majoriti yang ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan ada lantikan politik dalam BN di negeri ini yang kerap mencari kelemahan kerajaan negeri sendiri.

“Saya berpandangan bahawa mereka yang tidak mampu berdisiplin dalam organisasi dan terus-menerus mengkritik kerajaan yang mereka wakili wajar mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan daripada mana-mana jawatan lantikan politik yang disandang di negeri ini.

“Selain itu, sumbangan yang diberikan oleh ADUN BN dalam kerajaan negeri juga amat minimum dan dalam banyak isu, mereka tidak banyak membantu kerajaan negeri.

“Sebab itu saya berpandangan bahawa perkara (kerjasama) ini perlu dikaji semula secara serius oleh Pengerusi Pakatan Harapan Selangor yang juga Menteri Besar Selangor.
Kita tidak mahu wujud ‘api dalam sekam’ yang akhirnya mengganggu kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN