Sungai Sedim paling berisiko kejadian kepala air di Kedah

Sungai Sedim paling berisiko kejadian kepala air di Kedah

AWANG Hidzel Awang Bujang (dua kanan) meninjau lokasi yang paling kerap berlaku kepala air di Kedah iaitu Sungai Sedim di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sungai Sedim di Kulim, dekat sini merupakan lokasi paling kerap dilanda insiden kepala air di negeri ini apabila lima daripada 11 kejadian yang direkodkan sejak 2024 berlaku di kawasan rekreasi tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, enam lagi kejadian berlaku di Sik, Langkawi, Yan, Baling, Changlun.

Katanya, daripada keseluruhan kejadian terbabit seramai 12 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala empat berjaya diselamatkan.

“Sungai Sedim mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu seramai tujuh orang dan masing-masing satu kematian di Kampung Kuala Merah, Lata Bayu, Lata Mengkuang, Air Terjun Lubuk Semilang dan Lubuk Kawah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini hari ini.

Kata beliau, kejadian paling tragis berlaku pada Jumaat lalu di Sungai Sedim apabila tiga mangsa meninggal dunia dan tiga berjaya diselamatkan.

“Antara insiden lain yang turut mendapat perhatian ialah kepala air di Changlun pada 20 Julai tahun lalu yang menyebabkan beberapa mangsa terperangkap selepas laluan utama ke lokasi terputus sebelum operasi menyelamat dilaksanakan pihak bomba,” ujarnya.

Menurut beliau, berdasarkan rekod JBPM Kedah, kejadian kepala air direkodkan pada 27 Februari 2024 di Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil; 13 Mei 2024 di Lata Bayu; 13 Oktober 2024 di Sungai Sedim dan 2 November 2024 di lokasi sama.

“Pada 14 Jun tahun lalu, kejadian berlaku di Sungai Sedim, Changlun (20 Julai) dan Lata Mengkuang, Sik pada 16 September. Bagi tahun ini, empat kejadian direkodkan iaitu di Sungai Sedim pada 12 Januari, Air Terjun Lubuk Semilang (16 Januari), Lubuk Kawah (19 Jun) dan sekali lagi di Sungai Sedim pada 17 Julai lalu,” ujarnya.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 39 lokasi berisiko kepala air dikenal pasti di seluruh Kedah dan lokasi lain antaranya Hutan Lipur Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya di Kuala Nerang; Air Terjun Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi serta Air Terjun Bukit Hijau, Air Panas Ulu Legong, Lata Celak Simpoi dan Lubuk Badak di Baling.

“Daerah Baling merekodkan bilangan tertinggi iaitu sembilan lokasi berikutan bentuk muka bumi yang berbukit, mempunyai gunung, jeram, air terjun dan sungai yang terdedah kepada fenomena berkenaan terutama ketika hujan lebat di kawasan hulu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, tragedi di Sungai Sedim pada Jumaat lalu sukar diramal kerana keadaan cuaca di lokasi rekreasi itu ketika kejadian kelihatan baik.

“Jika memang ada petanda-petanda awal seperti air keruh, ada kayu-kayu hanyut, boleh kita jangka berlaku kepala air. Namun semasa tragedi baru-baru ini dikatakan tiada petunjuk jelas menyebabkan ia sukar dijangka,” katanya.

Tambahnya, pihak pengusaha kawasan rekreasi dan komuniti setempat juga disaran memainkan peranan lebih aktif dengan mengeluarkan amaran awal kepada pengunjung terutama jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN