PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama memacu perniagaan tanpa tunai dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kolaborasi strategik itu akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga yang beroperasi di bangunan milik PREC seperti SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi mempergiatkan lagi perniagaan mereka menerusi platform real-time retail payment platform (RPP) seperti aplikasi DuitNowQR yang boleh digunakan melalui Aplikasi Perbankan Mudah Alih dan e-Dompet.
MoU dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib dan Ketua Pegawai Eskekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab. Ghani di SACC Mall, Shah Alam, semalam.
Nor Azam berkata, kolaborasi strategik itu akan memberikan manfaat dan kemudahan kepada peniaga-peniaga di premis-premis yang dikawalselia oleh PREC menerusi penggunaan produk-produk digital MBSB Ban melalui platform RPP yang diuruskan oleh Payment Network Malaysia (PayNet).
“Transaksi tanpa tunai yang ditawarkan menerusi RPP dapat menjimatkan kos operasi masa dan membantu mempertingkatkan proses pengurusan kewangan yang lebih cekap. Ia juga sedia digunakan sepanjang masa kerana beroperasi 24 jam sehari,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, dengan pendigitalan premis-premis PREC, ia dapat menarik lebih ramai pelanggan kerana pembayaran secara digital adalah lebih mudah, selamat dan menjadi pilihan pengguna masa kini.
Katanya, premis-premis PREC juga menjadi fokus MBSB Bank untuk mengadakan kempen-kempen promosi produk kerana lokasinya yang strategik.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pengukuhan PKS melalui pembiayaan kewangan mikro jangka pendek dan sederhana berdasarkan keperluan perniagaan mereka. Ia juga akan melalui proses penilaian yang lebih ringkas tetapi teliti berdasarkan data-data transaksi perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Fakru Razi berkata, PREC berbesar hati dengan kolaborasi itu yang membantu memudahkan urusan para peniaga dan pembeli di premis-premis bangunan miliknya membuat transaksi secara digital seperti e-Dompet dan aplikasi DuitNow yang disediakan oleh MBSB Bank.
Katanya, kolaborasi itu dijadualkan akan berlangsung pada hari Festival Ramadan Selangor 2023 (FESTIRA’23) bermula pada 5 Mac 2023 (Pra Ramadan) selama 48 hari sehingga 21 April 2023.
“Sebagai permulaan, sasaran utama kolaborasi ini adalah kepada para peniaga yang terlibat dengan FESTIRA’23 di mana para peniaga akan membuka akaun MBSB Bank dan menggunakan perkhidmatan perbankan secara digital dalam proses jual beli. Tahun 2023 merupakan tahun ke-10 penganjuran FESTIRA di pusat membeli-belah milik PREC iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi,” katanya. – UTUSAN










