KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras purata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus pada tahun ini.
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022, inflasi dijangka menjadi sederhana, didorong oleh harga komoditi utama yang lebih rendah.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, prospek inflasi pada 2023 kekal cenderung ke arah peningkatan yang lebih tinggi.
“Risiko peningkatan inflasi termasuk konflik geopolitik yang semakin meruncing lantas mengakibatkan harga komoditi yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang melampau, permintaan dari China yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kos input yang lebih tinggi disebabkan oleh perkembangan kadar pertukaran.
“Tambahan lagi, perubahan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga juga akan menimbulkan risiko inflasi menjadi lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Sasana Kilang, BNM hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, sistem perbankan domestik yang berdaya tahan dan kehadiran pelabur institusi domestik terus menyokong aktiviti pengantaraan kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Dasar monetari akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama memastikan persekitaran harga yang stabil,” ujarnya. – UTUSAN










