EU tidak sekat minyak sawit Malaysia - Utusan Malaysia

EU tidak sekat minyak sawit Malaysia

WARTAWAN Utusan Malaysia menemubual Michalis Rokas di pejabat Kedutaan EU ke Malaysia di Platinum Park, ibu negara, kelmarin. –UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ero­pah (EU) menafikan dakwaan pernah menyekat kemasukan komoditi minyak sawit Malaysia ke negara-negara anggota blok itu.

Perkara itu disahkan oleh Duta Delegasi EU ke Malaysia, Michalis Rokas ketika ditemu bual Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Malah, katanya, isu ber­ke­na­an hanya mencetuskan ketega­ngan yang tidak berasas malah tidak perlu dibangkitkan.

Menurut Rokas, tidak akan berlaku sekatan berkenaan ke­rana negara ini mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) yang meme­nuhi piawaian dan setaraf dengan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Berdasarkan data semasa, eksport minyak sawit Malaysia mencecah 1.5 bilion tan metrik ke negara-negara EU pada nilai RM8 hingga RM9 billion tahun lalu.

Ini menjadikan EU pengimport minyak sawit ketiga terbesar selepas China dan India dengan menyumbang 15 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.

“EU tidak pernah menyekat mahupun tidak membeli mi­nyak sawit Malaysia.
“Malah, angka ini (pembe­lian) juga menunjukkan hubu­ngan yang padu antara kedua-dua negara dan tidak pernah mengenakan sekatan,” katanya.

PILIHAN

Pada Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof me­negaskan Malaysia tiada pilihan selain menghentikan eksport minyak sawit ke EU jika blok negara itu masih kekal meneruskan larangan importnya.

Fadillah berkata, jika larangan itu diteruskan maka Malaysia boleh fokus kepada pasaran lain selain EU pada masa depan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berharap EU tidak bersikap terlalu rigid ketika me­laksanakan peraturan baharu terhadap komoditi eksport Malaysia khusus­nya membabitkan minyak sawit.

EU memperkenalkan perundangan baharu iaitu Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) mengenai import komoditi terpilih termasuk minyak sawit yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan.

Menurut peraturan baharu itu, enam komoditi minyak sawit, lembu, kayu, soya, koko dan kopi serta hasil produknya yang ditanam atau diternak di atas tanah yang mengalami penebangan hutan atau degradasi hutan akan diharamkan daripada memasuki Eropah.

Untuk rekod, Indonesia dan Malaysia adalah dua pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada bekalan global.

SEKATAN

Mengulas lanjut, Rokas juga memberi jaminan EU tidak akan mengenakan sekatan terhadap eksport minyak sawit Malaysia selepas EUDR dilaksanakan pada akhir tahun ini.

“Ini kerana peraturan penebangan hutan baharu hanya dikira mengikut mekanisme selepas 1 Januari 2021.
“Ia bermakna sebarang eksport tujuh komoditi ke negara EU harus ditanam di atas tanah yang tidak berlaku penebangan hutan,” katanya.

Rokas mengakui sepanjang dua setengah tahun berkhidmat di Malaysia, beliau tidak pernah menyaksikan sebarang aktiviti penebangan hutan untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

“Peraturan itu dibuat untuk memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia bahawa sebarang komoditi ditanam atau diternak atas tanah yang mengalami penebangan hutan atau degradasi hutan akan diharamkan daripada memasuki Eropah.

“Selain itu, dakwaan peraturan baharu EU akan menjejaskan petani kecil juga adalah tidak benar,” katanya.

Katanya, MSPO memberikan pensijilan bahawa sesebuah tanah untuk penanaman kelapa sawit tidak berlaku penebangan hutan dan keupayaan untuk mengesan aktiviti demikian.

“Oleh itu, tidak menjadi isu kerana Malaysia mendakwa hampir 98 peratus minyak sawit dikeluarkan di sini memenuhi kriteria MSPO,” katanya.

Dalam pada itu, Rokas berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Fadillah untuk merungkai permasalahan tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN