PETALING JAYA: EcoWorld Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) mencatatkan jualan sebanyak RM1.35 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2023, meletakkan syarikat di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM3.5 bilion tahun ini.
Menurut syarikat hartanah itu, segmen industri Eco Business Parks memberikan sumbangan terbesar kepada angka jualan dengan jualan RM616 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, rangkaian produk Kumpulan yang pelbagai, yang kini termasuk portfolio perindustrian dan komersial yang besar, membolehkan syarikat mencapai jualan RM1.35 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2023.
“Segmen taman perniagaan kami bermula dengan kukuh berikutan penjualan strategik kepada Kumpulan Haiti seluas 92 ekar tanah perindustrian di Eco Business Park II (EBPII) di Iskandar Malaysia.
“Jualan rumah kediaman Kumpulan mencecah RM548 juta dalam tempoh empat bulan yang sama dengan minat berterusan dalam produk yang dinaik taraf kami,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, ia termasuk Eco Majestic, Eco Forest, Eco Sanctuary, Eco Ardence dan Eco Grandeur di Lembah Klang, Eco Botanic 1 & 2, Eco Spring, Eco Tropics di Iskandar Malaysia dan Eco Horizon di Pulau Pinang.
Pelancaran pangsapuri servis SWNK Houze Pusat Bandar Bukit Bintang dan penjualan berterusan unit Kondominium Eden di Eco Sanctuary menambah kepada keseluruhan jualan yang dicapai.
Sementara itu, produk komersial Kumpulan menyumbang sebanyak RM182 juta, mewakili kira-kira 41 peratus daripada jualan setahun penuh segmen itu pada tahun kewangan 2022.
Bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2023, EcoWorld Malaysia berkata, keuntungan bersih mencecah RM57 juta, mewakili pendapatan sesaham 1.94 sen, iaitu 10 peratus lebih rendah daripada keuntungan bersih pada suku yang sama tahun lepas.
Katanya, pendapatan pada suku dalam tinjauan ialah RM484.73 juta, turun daripada RM533.42 juta tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan tahap kemajuan kerja dan aktiviti tapak yang lebih rendah semasa tempoh perayaan Tahun Baharu Cina pada Januari.
Mengenai prospek masa depan Kumpulan, Chang Khim berkata, kehadiran pemain global yang besar seperti Kumpulan Haiti di taman perniagaan itu akan mempunyai kesan pemangkin tinggi untuk menarik perniagaan huluan dan hiliran lain.
“Selain mempercepatkan pembangunan dan penciptaan nilai untuk baki tanah di EBP II, pelaburan langsung asing yang berteknologi tinggi seperti Kumpulan Haiti mampu menjana manfaat limpahan positif untuk negeri dan komuniti yang lebih luas melalui penciptaan pekerjaan bernilai lebih tinggi dan meningkatkan peluang perniagaan untuk penduduk tempatan,” katanya.
Jelasnya, pendapatan masa depan Kumpulan meningkat kepada RM4.03 bilion pada 28 Februari 2023, memberikan aliran tunai yang jelas dan keterlihatan pendapatan. – UTUSAN










