KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian dividen Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kepada kerajaan tahun ini akan dibuat selepas mengambil kira kemampuan dan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, meskipun kerajaan sebelum ini menjangka bakal menerima dividen daripada Petronas sebanyak RM40 bilion, hal itu masih tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira pembayaran hutang dan pelaburan semula.
“Mula-mula kita dengar RM35 bilion kemudian dalam belanjawan baru-baru ini RM40 bilion, jadi tidak kiralah bilangannya RM35 bilion atau RM40 bilion, ia masih tertakluk di bawah peraturan yang sering saya terangkan berulang kali sebelum ini.
“Kita akan membuat bayaran dividen berkenaan berdasarkan kepada kemampuan dan ia perlu melalui proses tadbir urus dalam memenuhi keperluan hutang dan pelaburan semula kami,” katanya pada sesi taklimat pengumuman keputusan kewangan Petronas untuk tahun 2022 di sini, hari ini.
Tambahnya, Petronas telah memberikan dividen berjumlah RM50 bilion kepada kerajaan pada tahun lalu selain turut menyumbang RM500 juta kepada Dana Amanah Kebangsaan bagi tempoh sama.
Tahun lalu media melaporkan Petronas bersetuju membayar dividen tambahan RM25 bilion kepada kerajaan menjadikan keseluruhannya berjumlah RM50 bilion.
Jumlah pembayaran dividen tertinggi pernah diberi kepada kerajaan adalah pada 2019, berjumlah RM54 bilion, termasuk dividen tambahan RM30 bilion. – UTUSAN










