SKANDAR PUTERI: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini yang terjejas akibat banjir akan diberi keutamaan dalam mendapatkan pembiayaan hasil kerjasama antara Bank Rakyat dengan kerajaan negeri menerusi BRJohorNiaga.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program pembiayaan itu menyediakan peruntukan sehingga RM100 juta bagi membantu memulihkan perniagaan mereka yang terjejas.
Menurutnya, inisiatif itu telah dirancang sejak 2020, khusus membantu golongan usahawan yang sebelum ini terjejas akibat pendemik COVID-19.
“Pada 28 Februari lalu hingga kini, hampir 85,000 orang di Johor menjadi mangsa banjir kali ini, termasuk golongan usahawan dan ramai yang terkesan.
“Saya bersyukur, berkat bantuan Kerajaan Persekutuan, hampir RM210 juta telah disalurkan. Saya yakin kawasan Batu Pahat dan Segamat ramai peniaga yang terkesan.
“Saya berharap BRJohorNiaga dapat membantu peniaga yang dalam kesusahan. Mungkin di peringkat Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan di peringkat Bank Rakyat, boleh berikan keutamaan kepada daerah terkesan akibat banjir baru-baru ini,” katanya semasa melancarkan Program Pembiayaan BRJohorNiaga di Fraser Place, Puteri Harbour di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman.
Onn Hafiz berkata, inisiatif BRJohorNiaga menawarkan kadar faedah yang rendah, iaitu tiga peratus.
Malah, katanya, bagi peminjam perusahaan mikro, mereka yang meminjam antara RM5,000 hingga RM50,000 tidak perlu membayar apa-apa faedah, manakala bagi peminjam PKS yang membuat pembiayaan RM51,000 hingga RM500,000, kadar faedah yang perlu dibayar adalah minimum.
“Kerajaan negeri akan serap kadar faedah sebanyak 3.58 peratus. Maklumat terkini, sekarang ini kadar faedah BLR ialah 6.85 peratus, kalau kita tolak 3.58 peratus, bermaksud kadar faedah yang perlu dibayar peminjam hanya tiga peratus.
“Ini antara kadar faedah terendah di dunia. Dan saya difahamkan Johor adalah satu-satunya negeri yang melancarkan inisiatif sedemikian bagi membantu usahawan kita,” katanya. – UTUSAN










