BAuto raih untung bersih RM92.2 juta suku ketiga 2023

BAuto raih untung bersih RM92.2 juta suku ketiga 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermaz Auto Berhad (BAuto) meraih keuntungan bersih sebanyak RM92.2 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2023, meningkat berbanding RM42.7 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil Kumpulan dan keuntungan sebelum cukai juga lebih tinggi masing-masing sebanyak RM976.0 juta dan RM115.5 juta pada suku semasa berbanding RM623.1 juta dan RM55.1 juta yang dicatatkan pada suku sama 2022.

Menurut kenyataan, hasil Kumpulan yang lebih tinggi sebanyak RM352.9 juta atau 56.6 peratus dicapai terutamanya disebabkan oleh pemenuhan berterusan pesanan terdahulu yang diterima untuk operasi domestik Kumpulan sebelum tamat insentif pengecualian cukai jualan pada Jun 2022.

“Margin kasar untuk operasi domestik Mazda telah bertambah baik disebabkan oleh perubahan dalam komposisi campuran jualan dan peningkatan ringgit berbanding yen.

“Selain itu, sumbangan daripada syarikat bersekutu, Mazda Malaysia Sdn. Bhd. (MMSB) juga bertambah baik sejajar dengan jumlah jualan yang lebih tinggi dalam pasaran domestik dan eksport,” menurut kenyataan syarikat itu.

Bagi tempoh sembilan bulan pula, Kumpulan melaporkan keuntungan yang lebih tinggi dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM2.48 bilion dan RM281.7 juta berbanding hasil dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM1.43 bilion dan RM103.1 juta setahun sebelumnya.

Ujarnya, jualan bertambah baik secara beransur-ansur apabila negara beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada Oktober 2021.

“Keuntungan sebelum cukai Kumpulan juga meningkat sebanyak RM178.6 juta atau 173.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Lembaga Pengarah telah melulus dan mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 4.50 sen dividen satu peringkat sesaham berkenaan dengan tahun kewangan berakhir 30 April 2023.

Tarikh kelayakan telah ditetapkan pada 18 April 2023 dan perlu dibayar pada 5 Mei 2023.

Ini akan menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tempoh kewangan berakhir 31 Januari 2023 kepada 11.00 sen dividen satu peringkat sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN