PETALING JAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengumumkan pelantikan Datuk Azrulnizam Abdul Aziz sebagai Pengerusi PR1MA yang baharu berkuat kuasa 16 Mac lalu, menggantikan Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Azrulnizam memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Hartford, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Pemasaran daripada Universiti Wichita State, Kansas, AS.
“Beliau juga telah menjalani Program Kepimpinan di Universiti Oxford, United Kingdom; Pendidikan Eksekutif di Harvard Business School, Amerika Syarikat dan merupakan Ahli Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Katanya, berbekalkan lebih 25 tahun pengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan, beliau pernah menggalas jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Banking & Investment Corporation Malaysia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Sa’adiq Berhad.
Selain itu, Azrulnizam pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pelaburan MARA Berhad dan Penasihat Kewangan Strategik Kumpulan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Ketika ini, Azrulnizam berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di MBSB Bank, AmMetlife Takaful dan Thriven Global Berhad.
Atas kapasiti peribadi, beliau adalah Pengarah CR FinaCapital Sdn. Bhd. dan Petrowangsa Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff mengucapkan tahniah dan menaglu-alukan pelantikan Azrulnizam ke PR1MA.
“Kami yakin beliau akan dapat memacu PR1MA dalam memenuhi aspirasi dan mandat kerajaan, khususnya penyediaan kediaman mampu milik yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN










