MUKADIMAH
Alta yang dahulunya dikenali sebagai Fundnel, merupakan pasaran digital terbesar di Asia Tenggara untuk pelaburan alternatif.
Secara keseluruhannya, Alta memberi akses kepada pelabur ke dalam pelaburan aset alternatif seperti pelaburan langsung dalam syarikat swasta diperingkat awal ke akhir, dana-dana ekuiti persendirian (PE) dan modal teroka (VC), serta akses kepada sekuriti berasaskan aset seperti aset mewah, hartanah dan banyak lagi.
Ikuti soal jawab Utusan Malaysia bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Alta, Kelvin Lee mengenai Alta dan tawaran perkhidmatannya.

UTUSAN: Boleh anda ceritakan sedikit tentang Alta, sejarah penubuhannya dan pasaran industri tersebut?
Sebagai pasaran bersepadu yang berlesen, Alta menawarkan perkhidmatan seperti perdagangan dan pengedaran sekuriti, pengurusan dana, dan penyelesaian pembayaran di bawah satu bumbung. Menerusi kemampuan blockchain bursa kami, Alta juga dapat menyokong tokenisasi, hak penjagaan digital dan perdagangan aset alternatif.
Umumnya, kita dapat lihat hari ini bahawa banyak pelabur ingin menambah portfolio aset alternatif mereka, namun terdapat sedikit halangan dengan kos pelaburan yang tinggi dan ketidakcairan pasaran swasta.
Dengan Alta, pelabur kini diberikan akses yang lebih mudah dan cekap daripada sebelumnya supaya mereka boleh berdagang aset token alternatif dengan pecahan blok yang lebih kecil. Dalam masa yang sama, ianya dapat meningkatkan kecairan dalam pasaran swasta dan menjadikan asset alternatif terbuka kepada semua.
Baru-baru ini, kami secara rasmi telah melancarkan jenama Alta di Malaysia, selepas pengambilalihan bursa sekuriti digital swasta terkemuka, Hg Exchange (HGX), yang kini juga dikenali sebagai Alta Exchange. Pengambilalihan serta pelancaran ini membolehkan kami menyokong tokenisasi aset alternatif yang dapat mewujudkan penyelesaian yang menyeluruh dan yang lebih cepat dan murah untuk pelabur berdagang sekuriti swasta, dana, dan aset berasaskan sekuriti seperti hartanah dan aset mewah. Ini akan meningkatkan rangkaian perkhidmatan kami dengan lebih ketara dengan ada nya tiga bahagian teras di bawah satu bumbung iaitu pelaburan pasaran swasta, perdagangan token keselamatan dan akses langsung kepada dana yang diuruskan oleh Alta.
Melalui platform pertukaran ini, kami dapat memperluaskan tawaran kami kepada pelabur. Di Alta Exchange contohnya, kami mempunyai lebih daripada satu juta pelabur daripada ahli firma yang terkenal seperti Phillips Securities, Prime Partners dan lain-lain. Kami juga mempunyai pelabur dari seluruh dunia yang berdagang di platform kami, yang sudah pasti perlu memenuhi piawaian akreditasi untuk berurus niaga di platform Alta. Dengan Alta, syarikat-syarikat akan mempunyai platform untuk mencari pelabur bagi tujuan perdagangan. Platform ini boleh diakses oleh pelbagai pelabur.
Bagaimana pula tentang asas operasi daripada segi pasaran?
Kami berpangkalan di Singapura, yang juga merupakan pasaran terbesar kami. Pasaran terbesar seterusnya bagi kami adalah Malaysia dan Indonesia. Sebanyak 50 peratus daripada pangkalan pelanggan kami adalah dari Asia Tenggara dan selebihnya dari negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Selatan dan Eropah.
Selain Singapura, kami juga mempunyai wakil pelabur Malaysia yang agak besar di rantau Asia Tenggara. Malaysia merupakan pasaran yang berkembang pesat kerana ia merangkumi segmen pelabur runcit yang lebih meluas.
Apakah trend pasaran terkini dalam industri, khususnya terhadap aset alternatif?
Pada pandangan saya, strategi kami cukup berdaya tahan untuk menghadapi cabaran makroekonomi yang lebih luas. Antara sebab utama ialah, kami menjangkakan peralihan besar ke arah aset dan pelaburan alternatif. Hari ini, kita dapat lihat ramai pelabur kurang bersedia untuk memperuntukkan aset dan pelaburan dalam kripto atau pasaran awam. Kita juga dapat lihat penurunan minat dalam syarikat-syarikat teknologi besar. Kesannya melalui itu adalah peningkatan terhadap permintaan aset alternatif.
Selain itu, dari sudut pandangan pasaran swasta Malaysia dikira amat dinamik dan menarik, kami melihat bahawa minat untuk mereka melabur kini meningkat dengan adanya tawaran pulangan yang menarik. Hal ini boleh dikaitkan dengan pertumbuhan pesat dalam penyertaan pelabur dan syarikat inovatif dari pelbagai sektor seperti agritech, dana modal teroka dan juga sektor bukan teknologi seperti F&B dan media. Bagi sektor pertanian, yang menyumbang 7.4 peratus daripada KDNK Malaysia pula, seolah mendapat nafas segar dengan inovasi baharu yang dapat meningkatkan produktiviti dan keluaran, apa yang lebih penting adalah penekanan terhadap keselamatan makanan.
Di Malaysia, kami ingin menawarkan fungsi pertukaran kami di peringkat serantau, supaya semua pelanggan issuer kami mempunyai peluang untuk meluaskan jenama dan ekuiti produk mereka.
Apakah selera kempen biayasama (ECF) oleh perusahaan kecil dan sederhana dan juga syarikat pemula, jika kita melihat kepada faktor halangan di peringkat antarabangsa dan tempatan?
Kami percaya permintaan daripada penerbit sekuriti (issuers) adalah lebih kuat pada masa sekarang. Apabila ekonomi secara keseluruhannya mengetat, keperluan untuk platform seperti kami adalah lebih menarik berbanding sebelum ini. Namun buat masa ini, masih terdapat banyak permintaan daripada syarikat untuk membuat pelaburan, untuk berinovasi dengan produk baharu dan juga teknologi baharu. Ini adalah masanya untuk kami melangkah masuk dan benar-benar menyokong mereka.
Mungkin ada kelebihan strategik bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapatkan modal melalui kempen biayasama berbanding pinjaman bank?
Ya, sudah pasti. Proses yang kami lalui dengan pengeluar kami sangat berbeza dengan pinjaman bank. Banyak syarikat pemula, syarikat mikro dan pelanggan kami yang lain menghadapi kesukaran kepada akses pinjaman bank. Sekiranya mereka berjaya mendapatkan pinjaman bank, kadar faedah yang tinggi akan memberikan banyak persoalan tentang keperluan sebenar syarikat, serta menurunkan keyakinan mereka untuk mengekalkan bayaran tersebut dalam persekitaran yang tidak menentu. Ini membolehkan platform meraih dana seperti Alta, menjadi cukup menarik.
Selain itu, perkembangan dalam teknologi, dengan munculnya kenderaan pelaburan yang maju dan pangkalan pelabur global yang semakin meningkat boleh dianggap sebagai pendemokrasian pasaran terbesar pada zaman moden ini. Dengan teknologi kewangan pula, ia akan sentiasa dilihat sebagai pendemokrasian perkhidmatan dan tawaran kewangan lebih mudah diakses.
Berapakah nilai transaksi yang telah dilaksanakan oleh Alta setakat ini dan berapa banyak syarikat yang telah menerima pembiayaan melalui Alta?
Sehingga kini, Alta telah menyelia hampir 1,000 transaksi untuk SpaceX, Grab, Gojek, dan aset alternatif lain. Sejak 2016, Alta telah mengumpul lebih daripada AS$600 juta di seluruh Asia Tenggara menerusi kempen biayasama bagi syarikat-syarikat swasta dan secara keseluruhan, dan kami telah mencapai lebih daripada AS$22 bilion dalam transaksi yang diberi mandat oleh pelabur. Di Malaysia sahaja, kami telah mengumpul sebanyak RM38 juta untuk syarikat-syarikat di sini.
Adakah Alta mempunyai fokus terhadap pertumbuhan dalam bidang-bidang tertentu di dalam pasaran?
Kami akan terus membina visi sedia ada kami iaitu untuk merevolusikan pasaran swasta, dan kami bersedia untuk memulakan langkah pertama untuk tahun 2023 dan seterusnya.
Untuk pasaran Malaysia khususnya, kami akan terus meningkatkan akses kepada pelabur runcit ke pasaran swasta. Pada masa ini, kami sudah mempunyai rangkaian issuers yang kukuh di pelbagai industri. Kami juga melihat permintaan dan teknologi yang memberangsangkan dalam bidang ESG, kerana ini merupakan salah satu bidang pertumbuhan yang terbesar.
Secara umumnya, di peringkat global dan serantau, kami sekali lagi benar-benar ingin menjadi aset alternatif untuk semua. Dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, kami akan melancarkan produk dan peluang baharu di seluruh Asia Tenggara, membawakan perkhidmatan menyeluruh ke beberapa pasaran yang paling berkembang pesat di dunia. – UTUSAN