PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya, UDA Dayaurus Sdn. Bhd. (UDSB) menandatangani terma induk dengan MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.) dalam usaha mengembangkan cabang perniagaan pengurusan fasiliti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, selaku peneraju perkhidmatan pengurusan fasiliti di negara ini, UDA yakin kerjasama itu yang menawarkan perkhidmatan bersepadu, mampu mempertingkat mutu bangunan di bawah seliaan MARA Inc.
Kata beliau, kerjasama strategik itu turut memberi nilai tambah menerusi perkhidmatan berkualiti tinggi seperti pelaksanaan inisiatif penjimatan tenaga (energy saving) dan Kontrak Prestasi Tenaga (Energy Performance Contract – EPC).
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dijangkakan tenaga boleh diperbaharui akan menyumbang sebanyak 31 peratus daripada jumlah kapasiti tenaga Malaysia menjelang 2025.
“Melihat kepada peningkatan ini, UDA juga optimis untuk terus memanfaatkan kepakaran UDA Dayaurus dalam industri pengurusan fasiliti dengan meneroka peluang baharu seperti tenaga solar (RE), EPC dan sistem bangunan pintar.
“Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA: LIFE yang memfokuskan kepada kemampanan atau kelestarian dalam kehidupan,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani terma induk kerjasama antara UDA Dayaurus dengan MARA Inc., semalam.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Fasiliti UDA, Hasnizi Pauzi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Faizul Idzhar Ahmad Yaz serta disaksikan oleh Mohd. Salem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd., Datuk Julainie Mohd. Salleh.
Mohd. Salem berharap, kerjasama strategik itu mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, terutamanya dari segi penjimatan tenaga yang turut menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan pembangunan hijau demi kepentingan generasi akan datang.
“Saya turut berharap, jalinan kerjasama pertama ini dapat diperluaskan lagi di masa hadapan,” katanya.
UDA Holdings Berhad (UDA) merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang merupakan peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta fasiliti.
UDSB merupakan anak syarikat milik UDA dengan kepakaran dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti selama 42 tahun.
Anak syarikat milik UDA itu menguruskan lebih daripada 2 juta kaki persegi ruang bangunan dengan menggunakan peralatan yang sesuai dan terkini serta memastikan kepatuhan kepada piawaian kualiti dan keselamatan antarabangsa. – UTUSAN










