Sektor pembinaan dijangka berkembang lebih 6 peratus

[TINJAUAN EKONOMI] Sektor pembinaan dijangka berkembang lebih 6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR pembinaan diunjur meningkat sebanyak 6.1 peratus pada 2023 berikutan prestasi lebih baik dalam semua subsektor.

Pelaksanaan projek baharu seperti menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 dan penyegeraan pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan termasuk ECRL, LRT3 dan pelaksanaan rangkaian selular generasi kelima (5G) dijangka menerajui subsektor kejuruteraan awam.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, lebih penting, projek pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan diunjur dapat meningkatkan permintaan bagi bangunan bukan kediaman.

“Aktiviti dalam subsektor bangunan kediaman dijangka berkembang dengan stabil didorong oleh peningkatan dalam penawaran rumah mampu milik selaras dengan strategi RMK-12.

“Di samping itu, penerusan insentif i-MILIKI bagi menggalakkan pemilikan rumah dijangka dapat merangsang permintaan terhadap bangunan kediaman,” katanya.

Laporan juga menyatakan sektor lain yang meningkat pada 2023 termasuk sektor pembuatan, pertanian dan perlombongan.

Menurutnya, sektor pembuatan diunjur meningkat sebanyak 3.9 peratus, didorong pengembangan dalam semua subsektor walaupun dalam keadaan aktiviti ekonomi yang menyederhana.

“Industri berorientasikan eksport dijangka berkembang kukuh dengan segmen elektrik dan elektronik terus memacu pertumbuhan sektor.

“Pengeluaran dalam industri berorientasikan domestik turut diunjur bertambah baik disokong oleh output yang lebih tinggi dalam segmen besi dan keluli serta segmen berkaitan pembinaan lain.

“Pertumbuhan ini sejajar dengan potensi pengembangan dalam aktiviti pembinaan berkaitan kediaman dan bukan kediaman serta penerusan beberapa projek infrastruktur,” katanya.

Selain itu, laporan memaklumkan, sektor pertanian dijangka berkembang sebanyak 1.1 peratus berikutan peningkatan berterusan dalam subsektor kelapa sawit, ternakan dan perikanan.

“Subsektor kelapa sawit dijangka berkembang didorong oleh pengeluaran minyak sawit mentah lebih tinggi berikutan penawaran tenaga buruh yang bertambah baik. Seiring dengan jangkaan pengeluaran yang lebih baik, purata harga MSM diunjur sekitar RM4,000 setan.

“Subsektor ternakan dan perikanan dijangka terus meningkat dan menyokong pertumbuhan sektor ini. Prestasi in didorong oleh usaha bersepadu untuk memperkukuh keterjaminan makanan.

“Namun, subsektor getah serta perhutanan dan pembalakan diunjur mencatat pertumbuhan negatif,” katanya.

Selain itu, sektor perlombongan dijangka berkembang namun pada kadar lebih perlahan.

“Penyiapan projek saluran paip baharu di Sarawak dijangka merancakkan pengeluaran gas asli, terutamanya pada separuh kedua 2023. Selain itu, peningkatan permintaan daripada rakan dagang utama serta permintaan baharu daripada segmen industri dan petrokimia domestik dijangka terus menyokong pertumbuhan subsektor gas asli.

“Namun, pengeluaran minyak mentah dan kondensat diunjur menyederhana berikutan penurunan kadar pengeluaran daripada medan sedia ada di Semenanjung Malaysia.

“Sehubungan itu, sektor perlombongan dianggar berkembang sebanyak 1.2 peratus. Dari aspek harga, minyak mentah Brent diunjur mencatat purata sebanyak AS$80 setong berikutan jangkaan permintaan yang lebih rendah disebabkan oleh ekonomi global yang menyederhana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN