PETALING JAYA: Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama dengan sumbangan 32.4 peratus daripada nilai eksport negara pada Januari 2023, manakala Selangor merupakan penyumbang utama bagi kategori import sebanyak 26.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport Januari 2023 bertambah 1.6 peratus kepada RM1.8 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya Pulau Pinang mencatatkan nilai eksport tertinggi pada Januari 2023 sebanyak RM1.9 bilion, diikuti Johor (RM1.6 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (RM943.1 juta), Sarawak (RM909.7 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM797.1 juta), Negeri Sembilan (RM306.7 juta), Kelantan (RM7.7 juta) dan Perlis (RM1.6 juta).
“Bagaimanapun eksport menyusut di beberapa negeri antaranya di Selangor RM2.4 bilion, Pahang RM661.0 juta), Sabah (RM650.8 juta), Perak (RM587.0 juta), Kedah (RM156.8 juta), Melaka (RM104.9 juta) dan Terengganu (RM64.4 juta).
“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32.4 peratus, diikuti Johor (19.3 peratus), Selangor (16.6 peratus), Sarawak (8.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, bagi prestasi import mengikut negeri pula menunjukkan import pada Januari 2023 meningkat 2.3 peratus kepada RM2.2 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor sebanyak RM2.2 bilion, Melaka (RM1.4 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM550.5 juta), Terengganu (RM349.7 juta), Negeri Sembilan (RM348.8 juta), Sabah (RM282 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (RM130.2 juta), Sarawak (RM95.2 juta) dan Perlis (RM18.5 juta).
Walau bagaimanapun, import menyusut di Pulau Pinang pada RM2.2 billion, Selangor (RM543.2 juta), Perak (RM287.2 juta), Kedah (RM258 juta), Pahang (RM87 juta) dan Kelantan (RM36.2 juta).
Mohd. Uzair berkata, meskipun import Selangor menyusut, negeri itu masih menjadi penyumbang utama import dengan 26.3 peratus, diikuti Pulau Pinang (21.5 peratus), Johor (20.7 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.4 peratus) dan Kedah (6.1 peratus). – UTUSAN










