PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghimpunkan para pemimpin pemikiran antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 24 Ogos 2023 bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, persidangan Peralihan Tenaga anjuran syarikat utiliti elektrik nasional itu menjadi platform utama Malaysia untuk merangsang penyelesaian dan kerjasama merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga.
Kata beliau, persidangan itu akan menampilkan cara inovatif bagaimana industri dan kumpulan masyarakat berbeza mempercepatkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab
Katanya, walaupun wacana awam biasanya menumpukan kepada peralihan sumber tenaga daripada bahan api fosil kepada sumber lebih hijau, peralihan tenaga sebenarnya melangkaui peralihan biasa sektor berkenaan.
“Analisis kami menunjukkan bahawa anjakan lebih besar dalam peralihan tenaga akan mempercepatkan manfaat alam sekitar untuk membantu Malaysia memenuhi komitmennya berkaitan perubahan iklim, serentak mencergaskan semula ekonomi dan masyarakat melalui potensi pertumbuhan 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 142 MtCO2e/tahun menjelang 2040.
“Setiap orang mempunyai peranan mengurangkan jejak karbon dalam kehidupan seharian masing-masing, daripada cara berulang-alik, menghasilkan produk menggunakan sumber dengan cekap hinggalah kepada cara kita memupuk komuniti lestari untuk masa depan lebih hijau,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Baharin, Persidangan Peralihan Tenaga berpaksikan kepada peralihan dalam tiga kategori berbeza iaitu Tenaga, Pengangkutan dan Perbandaran.
Topik-topik itu akan meliputi empat tema khusus yang terdiri daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB), Penyahkarbonan, Pendigitalan dan Pemboleh Peralihan Tenaga merangkumi dasar, pasaran dan keupayaan.
“Peserta juga akan didedahkan teknologi dan penyelesaian mampan melalui pameran dan sesi padanan perniagaan. Melalui persidangan dan pameran ini, kami juga berhasrat untuk merangsang pasaran peralihan tenaga di pasaran tempatan dan serantau.
“Malah, persidangan ini mendorong wacana strategik terhadap transformasi dasar, peraturan dan insentif kewangan yang mengembangkan lagi agenda Peralihan Tenaga. Kami percaya bahawa para peserta boleh memanfaatkan platform ini bersama rakan kongsi teknologi strategik dalam mendayakan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka dan menyumbang ke arah membantu Malaysia menjadi negara rendah karbon,” katanya. – UTUSAN










