Perodua sasar jual 5,700 unit Axia serba baharu sebulan - Utusan Malaysia

Perodua sasar jual 5,700 unit Axia serba baharu sebulan

ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perodua menyasarkan jualan sebanyak 5,700 unit model Axia serba baharu yang akan dilancar tidak lama lagi.

Pelancaran model baharu itu juga bakal melonjakkan penguasaan pasaran Perodua kepada 45 peratus tahun ini daripada 40 peratus tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, untuk keseluruhan 2023, Perodua menyasarkan mendaftarkan 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit kenderaan.

“Selain memberi tumpuan untuk menyelesaikan pesanan tertunggak, kami juga akan melancarkan Axia serba baharu tidak lama lagi untuk tetus mengujakan pasaran. Kami percaya, cadangan nilai kami akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya pada majlis prebiu dan pandu uji model baharu Axia di sini, hari ini.

Axia serba baharu didatangkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV serta dijual pada harga bermula RM38,600 hingga RM49,500.

Zainal Abidin berkata, harga Axia serba baharu lebih mahal kerana ia dilengkapi pelbagai ciri dan aspek keselamatan tambahan, selain saiznya lebih besar berbanding model sedia ada.

Beliau yakin, dengan pelbagai strategi diambil, unjuran jualan dapat dicapai disebalik kebimbangan kemelesetan ekonomi dan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR).

Malah katanya, Perodua juga sedang berhubung dengan pelanggan yang telah membuat tempatan Axia, untuk beralih kepada model baharu itu.

“Setakat ini maklum balas yang diterima positif, di mana harga dan spesifikasi ditawarkan diterima oleh para pelanggan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap kerajaan meneruskan pelbagai insentif diberikan kepada sektor automotif sebelum ini, dalam Bajet 2023, bagi memacu pertumbuhan sektor berkenaan yang merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Dalam perkembangan lain Zainal Abidin berkata, Perodua bercadang menghasilkan kereta hibrid mampu milik pada masa hadapan.

“Projek hibrid masih dalam peringkat kajian berdaya maju. Kita akan melihat semua aspek termasuk penggunaan platform sedia ada. Penekanan kita adalah aspek harga di mana jika projek ini direalisasikan, Perodua akan menghasilkan model hibrid paling mampu milik di Malaysia.

“Selain memberi nilai tambah kepada pemegang saham, fokus kita adalah untuk sentiasa memberi tumpuan kepada keperluan rakyat terhadap kereta mampu milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN