REMBAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes pembunuhan Suri Narudin.
Ia susulan laporan bedah siasat dan toksikologi yang belum diperoleh.
Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi memberitahu mahkamah, hanya laporan kimia yang diperoleh setakat ini.
Tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding hari ini daripada tertuduh, Zainizan Zainal, 52, memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali kemudiannya menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi laporan bedah siasat dan toksikologi.
Zainizan sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin pada 26 Disember lalu atas pertuduhan membunuh Suri Narudin, 53.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh wanita itu di belakang sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi, dalam daerah ini, antara 7 Disember hingga 18 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










