PETALING JAYA: Penyenaraian Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam tawaran awam permulaan (IPO) dapat membantu syarikat itu lebih telus di mata dunia, seterusnya membawa kepada pengatur cara yang lebih baik.
Ia juga dilihat mengikuti langkah bijak syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco serta ExxonMobil, BP dan Shell yang telah lama disenaraikan.
Bagaimanapun, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kajian mendalam perlu dilakukan kerana ia melibatkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) itu sendiri.
“Sekiranya Petronas mahu disenaraikan sebagai sebuah entiti walaupun hanya 10 peratus, ia perlu dilihat dari aspek akta kerahsiaan kerajaan juga.
“Kenyataan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini untuk membuat penelitian rapi mengenai perkara ini adalah tepat kerana kerajaan perlu mengkaji dengan dalam akan kesannya (melibatkan akta PDA),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menyarankan kerajaan mengkaji kemungkinan menyenaraikan Petronas sebagai satu cara mengumpul wang bagi membantu mengurangkan hutang negara.
Jelas Wong Chen lagi, penyenaraian Petronas itu akan memberikan suntikan tunai yang besar bagi mengurangkan hutang negara, menyediakan lebih ketelusan kewangan dan tadbir urus yang lebih baik kepada syarikat minyak dan gas negara, sekali gus meningkatkan hasil fiskal keseluruhan bagi kerajaan.
Bagaimanapun, Rafizi menegaskan kerajaan perlu melihat keperluan untuk itu (IPO) secara terperinci memandangkan Petronas adalah pemegang amanah (custodian) kepada sumber hidrokarbon negara.
Aimi Zulhazmi berkata, cadangan penyenaraian Petronas disuarakan supaya IPO dapat digunakan untuk membayar hutang negara yg meningkat lebih RM1.5 trillion atau 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Sekiranya ia dilaksanakan, kita perlu tahu berapakah yang boleh dinilai dari 10 ke 20 peratus penjualan saham tersebut untuk membayar hutang negara sekali gus.
“Nilai yg sesuai atau harga pasaran harus diketahui dahulu berdasarkan pasaran saham semasa dan juga industri petroleum dunia semasa. Sekiranya penjualan saham tidak cukup untuk menutupi hutang negara, maka cadangan itu tidak sesuai untuk dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN