TIV sektor automotif dijangka kekal tinggi

TIV sektor automotif dijangka kekal tinggi

X70 model Proton yang mendapat sambutan di pasaran tempatan dan luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif bagi 2023 dijangka kekal tinggi mengatasi tahun-tahun sebelumnya, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran TIV tahun ini sebanyak 678,000 unit pada ketika ini namun mungkin akan membuat penilaian semula berdasarkan pesanan tertunggak 2022 yang tinggi dan momentum tempahan baharu yang kukuh.

“Unjuran TIV bagi 2023 adalah tinggi berbanding rekod tertinggi yang dicapai pada 2015 berjumlah 666,631 unit.

“Kami juga menjangkakan pulangan atas ekuiti (ROE) sektor automotif pada tahun ini kekal di paras dua angka seba­nyak 12 peratus selain dividen yang menarik pada purata hasil 15 peratus.

“Ini juga akan didorong keada­an makroekonomi yang bertambah baik dan normalisasi kadar faedah lebih baik secara berpe­ringkat, selain pengukuhan nilai ringgit,” katanya dalam nota kajian.

Pada Disember 2022, TIV adalah jauh lebih kukuh berbanding jangkaan dengan rekod tertinggi sebanyak 76,657 unit menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah 720,658 unit.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd. berkata, TIV sektor automotif mencapai rekod tertinggi sebanyak 720,658 unit pada 2022, memecahkan rekod sebelumnya iaitu 666,598 unit pada 2015.

Ujarnya, jumlah volum pengeluaran (TPV) juga meningkat kepada rekod tertinggi sebanyak 702,000 unit.

“Jumlah yang kukuh itu didorong oleh permintaan terpendam, pelancaran baharu, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mendorong pelanggan membuat pesanan, meningkatkan penge­luaran dan memulihkan rantaian bekalan,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, TIV pada 2022 juga lebih tinggi daripada unjuran mereka sebanyak 700,000 dan anggaran 630,000 Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan pendapatan menurun daripada asas yang tinggi berikutan jualan yang lemah dan penilaian hadapan berada pada atau melebihi purata sejarah.

“Risiko menurun terdiri daripada tekanan makroekonomi berterusan yang mungkin me­ngurangkan lagi pesanan, kadar faedah yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kebangkitan semula dalam kekangan rantai­an bekalan.

“Risiko menaik termasuk pesanan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan pergerakan pertukaran asing yang mengga­lakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN