PETALING JAYA: Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad menyampaikan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Menurut kenyataannya, zakat perniagaan tersebut berjumlah RM185,151.20 bagi Takaful IKHLAS Family dan RM201,460.40 untuk Takaful IKHLAS General.
Katanya, penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, baru-baru ini.
Majlis penyerahan di Putrajaya tersebut turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Takaful IKHLAS berkata, penyerahan zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP sebagai tanggungjawab tahunan yang penting dalam usaha syarikat untuk turut membantu menyumbang kepada pemerkasaan komuniti melalui program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh pusat-pusat zakat di seluruh Malaysia.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 sahaja, Takaful IKHLAS Family telah membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM462,878 kepada empat entiti masing-masing di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Perak dan Perlis.
“Manakala Takaful IKHLAS General pula telah membayar sebanyak RM503,651 zakat perniagaan juga kepada empat entiti di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Kedah dan Sabah.
“Ini menjadikan amaun keseluruhan zakat yang dibayar oleh Takaful IKHLAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 berjumlah RM966,529,” katanya.
Tambah Takaful IKHLAS, penyerahan zakat perniagaan ini juga merupakan salah satu platform syarikat berkongsi keuntungan pendapatan yang diperolehi.
“Ini adalah selaras dengan prinsip takaful yang menerapkan konsep kerjasama serta bantu-membantu sesama peserta dan masyarakat.
“Semoga penyerahan zakat perniagaan daripada Takaful IKHLAS ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan serta membantu mempertingkatkan keadaan ekonomi mereka,” ujarnya. – UTUSAN










