Sabah ambil alih kepentingan dalam anak syarikat PCG

Sabah ambil alih kepentingan dalam anak syarikat PCG

(DARI kiri) Ketua Perancangan Strategik dan Usaha Niaga PCG, Ir. Yaacob Salim; Mohd. Yusri Mohamed Yusof; Bacho Pilong, Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Dionysia Aloysius Kibat di majlis menandatangi perjanjian antara PCG dan SMJSB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn. Bhd. (SMJSB), dan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Perjanjian Da­sar Induk bagi pengambilalihan 25 peratus kepen­tingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PC FSSB).

Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat berkata, pengambil­alihan kepentingan ekuiti dalam PC FSSB akan membuahkan perkongsian keuntungan yang lebih besar kepada Sabah dalam industri minyak dan gas di ne­geri itu.

“Ini merupakan tambahan kepada pengambilalihan aset saluran paip gas hiliran terpilih dan kontrak pembekalan gas asli oleh Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) baru-baru ini, yang menjadikan SEC pembekal domestik dan pengangkut gas asli terbesar di Sabah.

“Pengambilalihan ini menandakan peningkatan penyertaan GLC Negeri Sabah dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Dionysia Aloysius dan Pe­ngarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan dirinya sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekalkan dan memperkembangkan perniagaan petrokimia di Sabah.

“Kami menghargai peluang ini untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah. Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, di mana mereka akan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan PC FSSB di samping memberikan nilai tambahan kepada sumber gas ne­geri,” katanya.

PC FSSB, anak syarikat milik penuh PCG, ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah perbandaran Sipitang, Sabah.

Ia dianggarkan 150 kilometer ke arah selatan Kota Kinabalu dan 20 kilometer ke selatan Sipitang.

PC FSSB mempunyai fasiliti pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan direka untuk menghasilkan ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun.

Ia merupakan loji ammonia dan urea single train terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. Ia merangkumi tanah seluas 211 ekar di SOGIP, berhampiran dengan pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN