PUTRAJAYA: Rancangan Indonesia yang mahu menetapkan penanda aras sendiri bagi harga minyak sawit mentah (MSM) pasti akan memberi kesan bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau akan bertemu rakan sejawatnya di Indonesia bulan depan bagi membincangkan isu berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya akan membincangkan bagaimana rancangan Indonesia itu dapat memanfaatkan Malaysia terutama pengusaha dan pekebun kecil tempatan.
“Kita kena bincang bagaimana ia dapat memanfaatkan Malaysia secara keseluruhan termasuk manfaatnya kepada pasaran minyak sawit mentah di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Indonesia dikatakan akan menetapkan penanda aras sendiri bagi harga minyak sawit mentah (MSM).
Ketika ini, Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia dengan hampir 50 juta tan MSM setahun.
Dalam pada itu, mengulas rancangan India mengurangkan import minyak sehingga 30 peratus, Fadillah berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
Menurutnya, setakat ini kerjasama antara India berjalan baik terutama dalam membekalkan minyak sawit mentah.
“Malah, kita juga membekalkan benih-benih dan kepakaran teknikal bagi membantu India menanam sendiri komoditi itu di negara mereka.
“India sekarang berusaha untuk menanam kelapa sawit dan kita membantu mereka dari segi teknikal supaya lebih banyak negara di dunia terbabit dalam penanaman sawit,” katanya.
Katanya, kerjasama dengan India itu membolehkan teknologi dan kualiti kelapa sawit dapat terus diketengahkan di peringkat dunia.
Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menetapkan sasaran RM35 bilion bagi nilai eksport sektor agrikomoditi dan mewujudkan 2,000 tenaga kerja mahir dalam tempoh 100 hari akan datang. – UTUSAN










