Maybank IB unjur ekonomi Malaysia berkembang 4 peratus 2023

Maybank IB unjur ekonomi Malaysia berkembang 4 peratus tahun ini 

EKONOMI Malaysia terus berkembang pada suku pertama 2023 didorong oleh permintaan dalam negeri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar lebih perlahan sebanyak 4.0 peratus tahun ini berbanding 8.0 tahun lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias berkata, persekitaran inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi bakal menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

“Inflasi dilihat sebagai penghalang utama pertumbuhan ekonomi di samping menjadi punca utama penurunan pertumbuhan selain kuasa beli global yang dijangka lebih rendah.

“Selain itu Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan bagi Malaysia yang merosot lebih rendah sejak suku keempat 2022 serta trend pertumbuhan import dan jumlah eksport yang menyederhana pada tempoh sama juga menyebabkan pertumbuhan menyederhana tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai Prospek Ekonomi 2023 secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka dinaikkan 25 mata asas lagi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 3 peratus dilihat bakal menjejaskan trend pengurangan inflasi.

Jelas beliau, inflasi dan kadar faedah yang tinggi bakal memberi kesan kepada kos sara hidup dan pendapatan boleh guna sebenar dan menyebabkan kuasa beli berkurangan.

Suhaimi turut menjangkakan perbelanjaan pengguna tahun ini lebih perlahan kepada enam peratus berbanding 11.5 peratus tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN