Mah Sing di landasan yang tepat

Mah Sing di landasan yang tepat dengan pelan perumahan mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Mah Sing Group Berhad untuk mengembangkan tawaran rumah mampu miliknya dilihat secara positif oleh penganalisis, berikutan jangkaan permintaan yang sihat dalam sektor itu.

Mah Sing akan membangunkan projek pembangunan transit persekitaran daerah (Ted) baharu seluas 8 ekar di Puchong, Selangor, dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM726 juta.

Pembangunan yang dikenali M Terra Parcel 1 seluas kira-kira empat ekar dirancang sebagai pembangunan kediaman, manakala M Hana iaitu Parcel 2 (baki empat ekar) sebagai pembangunan bercampur.

MIDF Research berkata, projek-projek itu berharga berpatutan dengan harga jualan indikatif bermula dari RM250,000;  binaan indikatif 552 kaki persegi, 769 kaki persegi dan 1,005 kaki persegi.

“Dengan gabungan GDV daripada dua projek pada kira-kira RM726 juta, diterjemahkan kepada nisbah kos tanah yang menarik kepada GDV sebanyak 11.8 peratus.

“Kami mengekalkan saranan “beli” ke atas Mah Sing kerana mempunyai strategi pemulihan pantas untuk menjual rumah mampu milik di Lembah Klang, yang terus menyaksikan permintaan kukuh daripada pembeli rumah,” kata MIDF Research dalam nota kajian.

Untuk pembelian itu, MIDF menjangka gearan bersih Mah Sing akan meningkat sedikit pada 0.28x daripada 0.27x pada September 2022.

Mah Sing berkata, ia bercadang untuk membiayai pertimbangan pembelian tanah sebanyak RM85.9 juta dengan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman bank dan hasil bersih daripada pelupusan tanah yang belum dibangunkan baru-baru ini.

MIDF mengekalkan unjuran pendapatannya untuk tahun kewangan 2022 dan tahun kewangan 2023 kerana kesan pendapatan dalam jangka terdekat dijangka minimum.

Bagaimanapun, ia menyemak semula harga sasaran saham lebih tinggi sedikit kepada 75 sen daripada 74 sen selepas memasukkan sumbangan nilai aset bersih sebenar daripada pengambilan tanah.

Mengenai projek di Puchong, ia menandakan perjanjian tanah pertama pada 2023 untuk Mah Sing, yang sedang giat meninjau untuk memperoleh lebih banyak tanah yang baik untuk membangunkan rumah mampu milik.

Terletak berhampiran stesen LRT Puchong Perdana dan LRT Puchong Prima, projek itu akan menjadi pembangunan TED yang terletak 501 meter hingga 1,000 meter daripada pengangkutan awam.

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, Puchong adalah kawasan tumpuan pembangunan dan tanah itu telah menikmati infrastruktur sedia ada dan pelbagai kemudahan.

“Kami akan menambah nilai dengan konsep dan reka bentuk, serta rekod prestasi penjenamaan dan pelaksanaan kami.

“Ini adalah peluang baik untuk kami melanjutkan kehadiran kami di Puchong, selepas kejayaan pembangunan kelas atasan yang lebih awal berdekatan seperti Kinrara Residence di Kinrara dan Garden Residence di Cyberjaya,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya