PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada 2022 mencatatkan rekod baharu berjumlah RM2.8 trilion, pertumbuhan terpantas sejak 1994, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Lebihan dagangan negara mencecah nilai tertinggi baharu berjumlah RM255.1 bilion, mencatatkan lebihan untuk tahun ke 25 berturut-turut sejak 1998.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, eksport Malaysia pada 2022 mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 25 peratus kepada RM1.6 trilion daripada RM1.2 trilion tahun sebelumnya.
Kata beliau, import negara turut merekodkan peningkatan sebanyak 31.3 peratus bernilai RM1.3 trilion.
“Pertumbuhan eksport pada Disember 2022 kekal positif, walaupun menyederhana pada 6.0 peratus kepada RM131.9 bilion berbanding Disember 2021.
“Ini merupakan peningkatan tahun ke tahun yang ke-28 bulan berturut-turut sejak September 2020. Pertumbuhan ini didorong oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.
“Pertumbuhan eksport semula kekal lebih kukuh pada 25.5 peratus berbanding pertumbuhan eksport domestik, meningkat 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan sempena laporan Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Disember 2022, semalam.
Mohd. Uzir berkata, selari dengan prestasi eksport, import pada Disember 2022 mengekalkan pertumbuhan dua angka 12.0 peratus daripada RM92.9 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM104.1 bilion.
Katanya, jumlah dagangan pula bernilai RM236.0 bilion, meningkat 8.6 peratus berbanding Disember 2021.
“Manakala, lebihan dagangan lebih perlahan kepada RM27.8 bilion, menyusut 11.8 peratus, merupakan lebihan dagangan bulan ke-32 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.
Tambah beliau, berbanding November 2022, eksport dan lebihan dagangan meningkat masing-masing 1.7 peratus dan 27.6 peratus.
Walau bagaimanapun, kata beliau, import menyusut 3.5 peratus, manakala jumlah dagangan mencatatkan penurunan kecil 0.7 peratus.”
“Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 126 daripada 256 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh keluaran petroleum bertapis. Bagi import, 143 daripada 258 kumpulan barangan mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM3.9 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.0 bilion), Republik Korea (+RM1.2 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion), Jepun (+RM955.6 juta) dan Australia (+RM840.9 juta).
Sementara itu, import dipacu oleh peningkatan import dari Arab Saudi (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Singapura (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM1.3 bilion) dan Australia (+RM1.2 bilion).
Mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM2.4 bilion); gas asli cecair (+RM1.6 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM803.6 juta) dan petroleum mentah (+RM650.6 juta).
“Sementara itu, peningkatan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (+RM4.7 bilion); petroleum mentah (+RM3.4 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.5 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.0 bilion); gas asli cecair (+RM848.1 juta) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM847.5 juta),” katanya. – UTUSAN










