Intel Corp ulangi komitmen pelaburannya di Malaysia - Utusan Malaysia

Intel Corp ulangi komitmen pelaburannya di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS (Switzerland): Intel Corporation (Intel Corp), pengeluar cip yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) telah mengulangi komitmennya dengan pelaburan lebih RM30 bilion untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Memetik laporan Bernama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel serta lebih 5,000 pekerjaan dalam bidang pembinaan.

“Saya menyambut baik komitmen diberikan Intel dan kerjasama seumpamanya akan diteruskan dengan syarikat-syarikat lain dalam usaha meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Global Intel Kevyan Esfarjani, di sini semalam.

Intel merupakan syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di dunia dan antara perintis industri E&E di Malaysia, operasi syarikat itu bermula pada tahun 1972.

Pada 2021, Intel Corp mengumumkan pelaburan untuk membina kilang pembungkusan dan ujian cip baharu di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada 2024.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Presiden P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Suranjan Magesvaran serta Naib Presiden Hubungan Kerajaan Global dan Dasar Awam, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Cecilia Tan.

“P&G juga memberi komitmen untuk melabur lebih banyak di Malaysia. Kami juga membincangkan peluang-peluang di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan menerima satu lagi pelaburan besar dalam sektor logistik.

“Saya akan berjumpa dengan mereka. Ia merupakan hari yang produktif, saya juga akan bertemu beberapa rakan sejawatan saya dari rantau tersebut,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O’Connor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Antwerp-Bruges Jacques Vandermeiren.

Terdahulu, beliau menghadiri satu sesi tertutup, ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ (Perdagangan Global: Mengemudi Cabaran Rantaian Bekalan Pasca Pandemik). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya