Flavyo Popcorn semakin dikenali

Flavyo Popcorn semakin dikenali

POPCORN Flavyo Premium yang dihasilkan oleh Muhammad Azamuddin Kahar di kilangnya di Bandar Lahat Baru di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA tidak mengkhianati hasil apabila seorang eksekutif bank membuat keputusan untuk berhenti dan memulakan perniagaan menjual bertih jagung dengan bermula secara kecil-kecilan di rumah sehingga mampu membuka sebuah kilang di Lahat dekat sini.

Muhammad Azamuddin Kahar, 31, anak kelahiran Serkam, Melaka mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan sehingga membolehkan beliau mendapat pekerjaan yang bersesuaian tetapi memilih untuk menjadi usahawan bertih jagung atau popcorn.

Semuanya bermula dengan niat untuk mencari wang tambahan apabila beliau memilih menjual snek tersebut di pejabat kepada rakan terdekat empat tahun lalu.

Ketika itu, kerja-kerja memasak popcorn dilakukan di dapur rumah sehingga ada masanya beliau tidak tidur malam hendak menyiapkan tempahan.

Flavyo Premium Popcorn adalah jenama popcorn karamel yang beliau usahakan di kilangnya terletak di Bandar Lahat Baru, Ipoh, Perak.

Bermula dengan dua perisa iaitu Caramel dan Dark Chocolate, kini beliau mempunyai 10 perisa popcorn dengan tambahan Royal Caramel, Blueberry, Strawberry, Vanilla, Peppermint, Coffee, Durian dan Keladi.

Menerusi kaedah pemasaran menggunakan media sosial termasuk rebiu daripada pengendali laman-laman Facebook setempat, kini Flavyo Premium Popcorn antara jenama yang dikenali di Ipoh.

Menurut bapa kepada dua orang anak ini, beliau memulakan perniagaan itu bermodalkan hadiah mesin memasak popcorn daripada ibunya bernilai RM500.

“Ibu tahu saya suka berniaga, jadi ibu hadiahkan saya mesin membuat popcorn. Bulan demi bulan jualan popcorn semakin meningkat menyebabkan saya tidak menang tangan lalu memutuskan untuk berhenti kerja.

“Selain jualan terus dan menjadi pembekal kepada penjaja, saya turut menerima banyak tempahan bagi majlis perkahwinan dan keraian,” katanya, baru-baru ini.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Menurut Muhammad Azamuddin, beliau mula membesarkan lagi perniagaan pada Mac 2020 dengan membeli mesin tambahan dan menyewa sebuah stor di sekitar Ipoh.

“Pada masa itu saya juga telah menjadi pembekal kepada banyak usahawan kecil yang menjual popcorn di Ipoh termasuk diletakkan di kedai-kedai makan,” katanya.

MUHAMMAD Azamuddin Kahar memproses popcorn Flavyo untuk pasaran termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dari R&R Ipoh sehingga Sungai Buloh, sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Cameron Highlands. – UTUSAN/MUHAMMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Katanya, rezeki niaga mula kembali melalui jualan secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila jualannya mendapat permintaan yang tinggi.

“Sewaktu PKP, saya ada kira-kira 200 ejen di seluruh Semenanjung Malaysia tetapi kini hanya tinggal beberapa orang sahaja kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Minatnya yang mula berniaga sejak di bangku sekolah lagi tidak melemahkan semangatnya apabila terpaksa mengecilkan operasi perniagaan apabila Perintah Kawalan Pengerakan Diperketatkan (PKPD) mula dilaksanakan.

“Sedang rancak berniaga, keadaan pandemik bertukar sebaliknya apabila banyak tempahan perkahwinan dibatalkan selain tidak boleh membuat jualan luar.

“Saya terpaksa mengecilkan operasi perniagaan dengan empat pekerja berbanding enam, malah menjual dua daripada lima mesin memasak yang ada,” katanya.

Tetapi kini, setiap hari beliau tetap menghasilkan kira-kira 150 kilogram popcorn Royal Caramel sahaja termasuk bagi dibekalkan kepada lebih 30 vendor selain puluhan penjaja kecil.

“Saya juga mengedarkan berkilo-kilo bekalan bertih jagung pada setiap minggu untuk diletakkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dari R&R Ipoh sehingga Sungai Buloh termasuk sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Cameron Highlands.

“Alhamdulillah, setakat ini bertih jagung Flavyo tetap mendapat sambutan kerana ia sedap dan tidak mudah lemau,” katanya.

Muhamad Azamuddin turut menasihatkan golongan sebaya­nya agar tidak mudah putus asa dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu di dada untuk kekal lama dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi.

“Jika jenama perniagaan tengah viral, jangan mudah melatah untuk membesarkan operasi perniagaan kerana kita tak tahu sampai bila ia akan viral.

“Sentiasa cakna dengan sekecil-kecil kos dan bahan supaya tidak terlepas pandang setiap aliran keluar masuk duit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN