
AISKRIM Malaysia satu ketika dahulu sangat popular khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan pasangan suami isteri dari Kuala Perlis di sini, meneruskan tradisi dengan menjual ais tersebut.
Jika berkunjung ke Jambatan Tuanku Syed Putra di tapak Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, pastinya pengunjung pernah terlihat gerai kecil yang menjual aiskrim Malaysia dengan harga RM1, di hadapan sebuah rumah berhampiran laluan masuk di sana.
Gerai kecil tersebut menjadi persinggahan pengunjung bagi menikmati aiskrim berkenaan yang menggamit kenangan masa dahulu.
Menariknya, aiskrim Malaysia di gerai itu menampilkan keunikan tersendiri dengan menawarkan lebih 20 perisa sesuai dengan selera kanak-kanak masa kini.
Telah beroperasi selama tiga tahun, perniagaan tersebut yang diusahakan pasangan suami isteri, Zuraida Zakaria, 48, dan Hamizan Khozali, 48, semakin menambat hati pelanggan.
Zuraida berkata, selain menjual di gerai berkenaan, dia dan suami turut menjual aiskrim Malaysia itu di kawasan sekolah, taman perumahan dan lokasi tumpuan pelancong sekitar Kuala Perlis.
“Kebiasaannya saya dan suami keluar pukul 12 tengah hari untuk menjual aiskrim di sekolah. Kemudiannya, kami balik sebentar untuk rehat, sebelum keluar semula sebelah petang bagi menjual aiskrim di kawasan taman serta kampung.
“Pada cuti hujung minggu dan persekolahan, kami menjual di gerai di sini memandangkan kawasan ini antara tumpuan pengunjung ke Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut, Zuraida berkata, dia memulakan perniagaan itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, di mana suaminya turut ditamatkan perkhidmatan akibat pandemik Covid-19.

Zuraida dan suami memutuskan untuk menjual aiskrim secara sepenuh masa bagi meneruskan kehidupan di samping membesarkan dua anak mereka.
“Pada waktu itu, suami saya bekerja dalam sektor kargo di Kuala Kedah dan dia diberhentikan kerja akibat pandemik. Bermula dari situlah timbul idea untuk memulakan perniagaan ini bagi menyara keluarga memandangkan kosnya juga tidak begitu tinggi,” akuinya.
Menurut Zuraida, dia turut mengambil kursus termasuk kursus percuma secara dalam talian, bagi mempelajari selok-belok membuat aiskrim berkenaan.
Bagi mempelbagaikan aiskrim dihasilkan, Zuraida turut melakukan beberapa `olahan’ sehingga mampu menghasilkan pelbagai perisa antaranya asam boi limau kasturi, blueberry, bluemint, teh boba, mangga dan oreo keladi.
Kata Zuraida, dia mampu menjual antara 50 ke 100 batang aiskrim sehari bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Saya kebiasaannya mula menyediakan asirkrim pada waktu malam kerana ia mengambil sedikit masa untuk dibekukan sebelum boleh dijual,” jelasnya.
Jelas Zuraida, dia memilih menjual aiskrim Malaysia kerana ia lebih dekat dengan masyarakat di negara ini yang mempunyai kenangan atau nostalgia tersendiri terhadap aiskrim itu..
“(Selain itu), pada masa ini tidak ramai yang menjual aiskrim Malaysia, sebab itu kami cuba untuk mengekalkannya,” katanya. – UTUSAN










