fbpx

Terajui MoF: Anwar mampu tarik pelaburan asing

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba di pintu masuk utama Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah Jemaah Menteri, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

PETALING JAYA: Kelebihan rangkaian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama di luar negara perlu diguna pakai untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion serta menarik pelabur asing datang ke Malaysia. 

Itu antara kelebihan beliau yang turut memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan beliau untuk memegang jawatan dalam Kementerian Kewangan (MoF) itu mungkin kerana memikirkan bahawa negara sedang melalui tempoh kritikal untuk menetapkan hala tuju ekonomi dan kewangan di saat mendepani pelbagai cabaran ekonomi dunia serta domestik.

Ujarnya, kerajaan melalui dasar fiskal tidak boleh terus berbelanja dengan meningkatkan hutang untuk membangunkan ekonomi negara sebaliknya diimbangi dengan wang pelaburan terutama dari luar negara yang lebih banyak daripada dahulu.

“Penasihat yang dilantik juga berupaya untuk membantu (MoF) bagi mencipta formula lebih mantap dan terkini untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), termasuk bersaing dengan negara-negara jiran di Asean yang kini lebih berjaya menarik FDI ke negara masing-masing. 

“Berdasarkan langkah pertama Anwar menubuhkan dan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara sejurus selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menunjukkan prioriti beliau mencari jalan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan senarai penuh 28 barisan menteri baharu termasuk dua Timbalan Perdana Menteri. 

Menteri dalam portfolio ekonomi menyaksikan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dlantik sebagai Menteri Ekonomi manakala bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Selain itu, urusan kerajaan diMoF akan dibantu beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah dan diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Merican.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pelantikan menteri bagi portfolio ekonomi dilihat setanding kelayakan masing-masing.

Katanya, sebagai contoh, pelantikan Tengku Zafrul menerajui MITI amat sesuai kerana beliau berpengetahuan dalam dunia perbankan korporat serta bidang perdagangan dan pembiayaan antarabangsa.

“Pengetahuan beliau akan sangat berguna untuk menentukan pelaburan yang betul ke Malaysia dan menentukan apakah insentif yang sesuai untuk memastikan kita menarik industri terbaik untuk ditempatkan di sini. 

“Rafizi juga berbakat tinggi dan intelek dalam hal ehwal ekonomi. Kita boleh lihat kedua-dua isu mikro dan makro ekonomi untuk mengukuhkan kedudukan dalam kedudukan global. 

“Paling utama, MoF di bawah kendalian Perdana Menteri amat penting memandangkan kita perlu menangani banyak isu pembiayaan untuk negara. Beliau mempunyai pengalaman selama bertahun-tahun dalam kerajaan dan pemahamannya tentang keperluan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN