Sumber tenaga buruh perladangan akan diperluas - Utusan Malaysia

Sumber tenaga buruh perladangan akan diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia melihat lebih banyak negara untuk membekalkan sumber tenaga kerja seperti India, Bangladesh dan Nepal bagi mengatasi masalah kekurangan buruh dalam sektor perladangan sawit yang kekurangan kira-kira 200,000 ketika ini.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, perkara itu perlu supaya sektor tersebut tidak terlalu bergantung kepada sumber dari Indonesia seperti sebelum ini.

Katanya, India adalah negara yang bersedia untuk menghantar buruh mereka ke sini sejajar dengan dasar mereka bagi menanam kira-kira dua juta hektar kawasan penanaman sawit di sana.

“Apabila mereka menghantar pekerja mereka ke sini, mereka akan mendapat latihan. Jadi ia adalah situasi menang-menang yang mana mereka akan mendapat pekerja terlatih dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

“Sebelum ini, kita hanya memberi tumpuan pada satu atau dua negara sahaja untuk sumber tersebut. Sekarang, kita tak boleh meletakkan pada negara sumber dari negara sama dan perlu pelbagai,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022) di Royale Chulan, Jalan Conlay, di sini semalam.

Mengulas mengenai unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) menjelang tahun depan, Ahmad Parveez berkata, harga akan stabil sekitar RM4,000 hingga RM4,500 setan.

“Pada awal tahun depan kita akan mengadakan ‘seminar review outlook’ dan pada masa itu kita akan kaji semula.

“Pasaran pada masa ini masih lagi melihat pada ketidaktentuan Russia dan Ukraine. Kalau ada krisis lain yang berlaku, mungkin harga akan meningkat lagi.

“Buat masa ini, sebanyak 50 peratus penghasilan minyak atau eksport minyak makanan dikuasai oleh sawit. Jadi, apa-apa yang berlaku pada minyak lain akan beri kesan pada sawit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN