PETALING JAYA: Rangkaian 5G Malaysia bakal menjangkau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini dan berada di landasan untuk mencapai 80 peratus pada 2024, menurut Digital Nasional Berhad (DNB).
DNB berkata, rangkaian 5G Malaysia antara pelaksanaan yang terpantas di dunia, bakal mencapai lebih 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan pada penghujung 2022 dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang, setelah lima daripada enam MNO menyediakan perkhidmatan 5G secara runcit kepada pengguna.
Jelasnya, jangkauan 40 peratus akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini.
Katanya, pengurangan kiraan tapak tersebut adalah berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.
“Sebahagian besar masalah ini telahpun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang. Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya.
“Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, atas dasar permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan yang diterima untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian, pihaknya yakin 80 peratus COPA bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang.
Sementara itu, Ketua Ericson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, pelaksanaan rangkaian 5G untuk Digital Nasional Berhad (DNB) adalah antara yang terpantas di dunia kerana pelaksanaannya baru saja dimulakan pada Oktober 2021.
Setakat ini, lima daripada enam Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan ialah Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), U Mobile Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES ) – telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.
Walau bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd. masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023.
Menurut DNB, trafik pada rangkaian 5G Malaysia kini semakin meningkat, dengan 56,000 pengguna serentak menggunakan kapasiti 146 Terabait (TB) pada 30 November 2022, atau bersamaan dengan 77,500 jam bagi filem berdefinisi tinggi.
“Rangkaian ini mempunyai purata kelajuan muat turun 394 Mbps berbanding purata kelajuan muat turun 4G iaitu 35 Mbps. Di samping itu, peranti serasi 5G juga turut berkembang pesat dalam pasaran, dengan kira-kira 7 juta peranti sudah menjadi milik pengguna setakat ini. Pertumbuhan ini diramalkan akan berganda pada tahun 2023 dan menjangkau 40 juta peranti menjelang 2030,” katanya.
DNB berkata, kesan 5G terhadap produktiviti, kecekapan dan inovasi diunjurkan akan menghasilkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul kira-kira RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi dari sekarang sehingga 2030. – UTUSAN










