PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober menurun sebanyak 10.3 peratus kepada 31,795 tan metrik daripada 35,460 tan metrik bulan sebelumnya, dan turun 26.3 peratus tahun ke tahun, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pengeluaran getah asli pada bulan dilaporkan disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.8 peratus, berbanding sektor estet hanya 12.2 peratus.
Kata beliau, jumlah stok getah asli turun 0.3 peratus kepada 198,122 tan metrik daripada 198,706 tan metrik pada September 2022.
“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perangkaan getah bulanan Malaysia bagi Oktober 2022.
Mohd. Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 41,548 tan metrik pada Oktober 2022 menurun 23.8 peratus daripada 54,542 tan metrik bulan sebelumnya.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli negara iaitu berjumlah 56.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2022, diikuti Jerman (8.2 peratus), Brazil (3.3 peratus), Finland (3.2 peratus) dan Iran (3.0 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 billion pada Oktober 2022, menurun 13.2 peratus berbanding September 2022 (RM1.3 billion),” jelas beliau.
Tambahnya, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 2.2 peratus (Oktober 2022: 466.42 sen sekilogram, September 2022: 476.76 sen sekilogram), manakala Sekerap meningkat 1.2 peratus (Oktober 2022: 471.29 sen sekilogram, September 2022: 465.86 sen sekilogram).
“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) menurun antara 0.6 hingga 2.1 peratus.
“World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing menurun 2.6 peratus (daripada AS$1.32/kg kepada AS$1.29/kg) dan meningkat 1.1 peratus (daripada AS$1.48/kg kepada AS$1.50/kg),” katanya. – UTUSAN










