
Sahih Muslim ada meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh Malaikat Jibril mengenai ihsan. Baginda Rasulullah menjawab ihsan “adalah apabila seseorang itu menyembah Allah seolah-olah dia dapat melihat-Nya, tetapi jika seseorang itu tidak melihat Allah, maka sesungguhnya Allah melihatnya”. Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah pernah bersabda betapa peri pentingnya ihsan di dalam setiap urusan atau perkara. Ihsan dikaitkan dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan di dalam semua bentuk lapangan dan tidak hanya terbatas atas hal ehwal ibadah sahaja.
Terkait dengan urusan pentadbiran kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), di dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 (PSK2022-2026), antara lain, telah mengariskan peranan kepimpinan kewangan Islam selaku pemacu pembangunan kewangan berasaskan nilai (VBI). Ianya adalah salah satu dari lima teras strategik pelan tersebut dan diunjurkan setelah mengambil kira kewujudan ekosistem kewangan Islam yang telah matang serta kesiapsiagaan para peserta industri.
Pertumbuhan industri kewangan Islam Malaysia dijangka akan terus membangun dengan sokongan dari pemegang taruh utama seperti BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta badan-badan kerajaan yang berkenaan. Namun, menurut PSK2022-2026 pembangunan yang dihasratkan adalah keupayaan industri kewangan Islam untuk memenuhi keperluan ekonomi dan sosial dengan lebih meluas dan tuntas. Ini adalah kerana, walaupun dapat memenuhi keperluan masyarakat di dalam negara secara umumnya, masih ada ruang untuk diterokai agar industri ini dapat dimaanfaatkan oleh lebih ramai ahli masyarakat, terutamanya dari kumpulan peniaga-peniaga perusahaan mikro dan sederhana. Apa yang dicitakan adalah sumbangan industri kewangan Islam dalam membantu pertumbuhan ekonomi yang seimbang, terkehadapan, mampan dan terangkum, pasca Covid-19.
Oleh itu, para peserta industri perbankan Islam dan pengendali takaful, harus mengambil langkah sewajarnya untuk menggalas mandat penting dan menyempurnakan amanah besar ini. Salah satu pendekatan yang ditekankan oleh PSK2022-2026, adalah keperluan peserta industri menzahirkan nilai ihsan dalam urusniaga mereka. Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus, baru-baru ini di dalam ucaptama beliau di Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022), berpandangan penerapan nilai ihsan oleh peserta industri sepertimana yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah berupaya meningkatkan nilai kecemerlangan kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi. Melalui penerapan nilai ihsan di setiap gerak kerja dan operasinya, peserta industri mampu memainkan peranan yang lebih luas dalam memastikan manfaat kewangan Islam dapat disebarkan dengan lebih menyeluruh, disamping dapat mencegah kemudaratan.
Pendekatan sebegini mungkin tidak pernah dizahirkan secara rasmi, oleh mana-mana agensi pengawal selia industri kewangan Islam. Justeru itu, Malaysia akan menjadi negara yang mempeloporinya. PSK2022-2026, secara jelas menyatakan peranan peserta industri selaku tonggak utama dalam pelaksanaan rancangan-rancangan pelan tersebut. Oleh itu, sejauh mana nilai ihsan berjaya diterapkan bergantung kepada tahap cakna, kesediaan dan keupayaan peserta-peserta industri kewangan Islam itu sendiri. Ianya mungkin memerlukan perubahan tatacara pengurusan sesebuah institusi kewangan, penambahbaikan model perniagaan serta penyesuaian pendirian dan sikap setiap pemegang taruh.
Apa yang penting, jika nilai ihsan berjaya diterapkan, institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia, selain masih dapat memberikan pulang keuntungan yang berdaya saing, pada masa yang sama dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai ahli masyarakat yang sebelum ini mungkin terpinggir dari sistem kewangan Islam negara. Hal ini akan membolehkan Malaysia mengekalkan kebitaraan dan kepimpinannya, selaku pasaran kewangan Islam utama dunia. Jika ada kemahuan, di situ ada jalan untuk mencapai kecemerlangan.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM. – UTUSAN










