PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia berjumlah RM158.9 bilion pada Oktober 2022, meningkat 12.9 peratus daripada tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai jualan sektor Pembuatan melonjak 17.1 peratus kepada RM1,485.2 bilion berbanding tempoh yang sama 2021.
Kata beliau, pada masa yang sama, bilangan pekerja meningkat sebanyak 3.6 peratus kepada 2.32 juta orang dengan gaji & upah berkembang 5.3 peratus kepada RM78.1 bilion.
“Bagi tempoh tersebut, nilai jualan per pekerja merekodkan RM639,852 dengan pertumbuhan 13.0 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan dua digit yang berterusan pada Oktober, dipacu terutama oleh subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (23.8 peratus), khususnya dalam industri Pembuatan kok & produk petroleum bertapis.
Selain itu, katanya, pengembangan nilai jualan itu juga didorong oleh subsektor Peralatan Elektrik & Elektronik (16.6 peratus) dan Produk Makanan, Minuman dan Tembakau (4.6 peratus) yang masing-masing disokong oleh industri
Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal dan industri pembuatan produk makanan.
Kata beliau, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih daripada dua pertiga atau 74.4 peratus daripada jumlah nilai jualan, terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.1 peratus pada Oktober 2022 (September 2022: 21.5 peratus).
“Prestasi yang menggalakkan ini adalah selari dengan pertumbuhan eksport perdagangan luar negeri dan peningkatan harga. Selain itu, nilai jualan industri berorientasikan domestik merekodkan kenaikan 4.7 peratus, namun pada kadar sederhana berbanding pertumbuhan 13.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Berbanding dengan September 2022, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport menyusut 2.9 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir menambah, jumlah pekerja sektor Pembuatan pada Oktober 2022 adalah seramai 2,321,179 orang, naik 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya (Oktober 2021: 2,241,048 orang).
Beliau berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor Peralatan Elektrik & Elektronik (5.6 peratus), Produk Makanan, Minuman dan Tembakau (4.3 peratus) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (2.0 peratus).
Katanya, ia selari dengan peningkatan pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan meningkat 4.8 peratus, berjumlah RM7,880.9 juta.
“Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 9.0 peratus kepada RM68,441 berbanding bulan yang sama tahun 2021 manakala purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,395,” katanya. – UTUSAN










