PETALING JAYA: MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline), sebelum ini dikenali sebagai Z9 Elite Sdn. Bhd. hari ini melancarkan dua laluan baharu ke Tawau dan Miri sekali gus menambah lebih banyak destinasi di Sabah dan Sarawak.
MYAirline dalam kenyataan berkata, tambang penerbangan dari Kuala Lumpur bermula dari serendah RM89 ke Miri dan RM109 ke Tawau, boleh ditempah di laman web dan aplikasi mudah alih MYAirline dari 16 hingga 22 Disember 2022.
Katanya, tempoh perjalanan untuk kempen tersebut adalah dari 21 Januari hingga 25 Mac 2023 dan MYAirline akan memulakan penerbangan sekali sehari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Tawau mulai 21 Januari 2023.
Syarikat penerbangan itu juga akan mengembangkan rangkaiannya ke Miri mulai 1 Mac 2023 dengan penerbangan sekali sehari dan kekerapan penerbangan bagi laluan tersebut akan ditingkatkan kepada dua kali sehari mulai 15 Mac 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, pihaknya teruja kerana dapat menambah lagi laluan domestik terutamanya ke Sarawak dan Sabah.
Katanya, laluan baharu itu selaras dengan misi syarikat untuk memupuk pertumbuhan pelancongan tempatan khususnya di Malaysia Timur.
“Kami ingin menyokong pergerakan pelancongan untuk rakyat Malaysia dan pelancong untuk melancong ke Sabah atau Sarawak dengan pilihan mampu milik sama ada untuk kerja, lawatan keluarga atau percutian.
“Dengan aplikasi mudah alih kami yang baru dilancarkan, penumpang boleh membuat tempahan perjalanan mereka mengikut keselesaan mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, MYAirline juga meningkatkan kekerapan penerbangannya dari KLIA2 ke Kota Bharu daripada dua kali sehari kepada tiga kali penerbangan setiap hari mulai 1 Mac 2023.
Syarikat penerbangan itu turut meningkatkan kekerapan penerbangan daripada dua kali sehari kepada tiga kali sehari dari KLIA2 ke Pulau Pinang mulai 15 Mac 2023.
Rangkaian laluan semasa MYAirline terdiri daripada empat destinasi dalam Malaysia, dengan penerbangan ke Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi dan Kota Bharu. – UTUSAN










