SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu, MYAirline Sdn. Bhd. menyasarkan untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan bagi laluan antarabangsa bermula suku pertama 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, MYAirline meninjau untuk melebarkan sayap ke pasaran serantau membabitkan Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Jika semuanya berjalan lancar, kami berharap dapat menyasarkan penerbangan antarabangsa pertama pada penghujung suku pertama tahun hadapan.
“Ia sedikit rumit dari segi mendapatkan kelulusan kerana kita perlu mempunyai perbincangan dengan lebih daripada satu negara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian penerbangan sulung MYAirline ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, semalam.
Selain Langkawi, syarikat berkenaan turut melancarkan laluan pertamanya ke Kuching dan Kota Kinabalu.
Menurut Rayner, penerbangan ke Kota Kinabalu mencatatkan faktor muatan penumpang melebihi 80 peratus sekali gus menunjukkan permintaan yang menggalakkan untuk perjalanan.
“Kami teruja kerana telah mendarat di Kuching, Kota Kinabalu serta Langkawi dan mengukuhkan kehadiran rasmi sebagai sebuah syarikat penerbangan. MYAirline percaya kemasukan ke destinasi berkenaan akan membantu meningkatkan pelancongan di Malaysia dan menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Sejak pengumuman laluan kami dibuat, sambutan dilihat amat menggalakkan daripada pengembara. Dengan perjalanan udara yang semakin meningkat tahun ini, kami berharap dapat meningkatkan bilangan pelancong melalui laluan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan,” ujarnya.
Rayner berkata, syarikat berkenaan juga akan menawarkan penerbangan domestik ke destinasi lain selepas ini seperti Pulau Pinang, Kota Bharu dan Sibu selepas mendapat kelulusan daripada pengawal selia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Media sebelum ini melaporkan MYAirline bersedia untuk memulakan operasi tiga laluan pertamanya bermula dengan penerbangan dari terminal KLIA2 ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu pada tambang bermula serendah RM48.
Manakala tambang untuk destinasi di Malaysia Timur pula merangkumi Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing dari RM68 dan RM88.
Ketika ini, MYAirline mempunyai hampir 500 pekerja termasuk kira-kira 60 juruterbang. – UTUSAN










