PETALING JAYA: Bijak, jujur, telus, rajin serta peka dengan isu semasa merupakan antara ciri-ciri yang diperlukan untuk pelantikan menteri dalam Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, individu yang dipilih haruslah seseorang yang berjiwa rakyat dan mendengar serta menganalisis keluhan semua pihak yang berkepentingan.
Katanya, ciri-ciri tersebut haruslah disokong dengan kelayakan dan pengalaman dalam bidang-bidang yang dipilih untuk diterajui mereka.
“Kami percaya Perdana Menteri akan melihat ciri-ciri ini dalam menteri yang dilantiknya nanti. Oleh itu, kita harus meletakkan kepercayaan ke atasnya dan bekerjasama untuk meletakan individu yang terbaik bagi membantu rakyat dan negara.
“Hanya dengan bekerjasama, rakyat, majikan, pekerja dan kerajaan di bawah pimpinan Anwar dapat berjaya untuk berdepan dengan halangan di hadapan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, antara portfolio paling penting untuk menstabilkan ekonomi negara adalah Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, amat penting supaya menteri yang dilantik untuk menerajui kementerian tersebut mempunyai pemahaman dan pengalaman mendalam mengenai isu kewangan, perdagangan, perniagaan dan ekonomi.
“Pada masa yang sama, mereka yang menduduki jawatan tersebut perlu mempunyai kedudukan politik yang agak tinggi supaya dapat melaksanakan agenda pengukuhan ekonomi kerana pasti akan ada pandangan yang berbeza daripada kumpulan tertentu.
“Kami percaya Perdana Menteri mempunyai pengalaman dan kehendak politik yang kukuh untuk membentuk hala tuju bagi ekonomi negara,” ujarnya.
Tambahnya, antara isu-isu utama yang perlu ditangani adalah tenaga kerja yang mencukupi untuk sektor-sektor seperti pembuatan, perladangan dan pembinaan, pendigitalan dan automasi serta hala tuju baharu untuk memacu ekonomi negara keluar daripada perangkap ekonomi membangun. – UTUSAN










