Proton catat jualan 10.4 peratus melebihi prestasi 2021 - Utusan Malaysia

Proton catat jualan 10.4 peratus melebihi prestasi 2021

KETUA Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong (tiga dari kiri) hadir meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mencatatkan jualan 126,682 unit bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun lalu dengan hanya satu bulan lagi menjelang akhir tahun.

Prestasi itu membolehkan syarikat automotif nasional itu mencapai jumlah jualan terbaik sejak 2013 dan syarikat berada di landasan untuk mencatatkan prestasi jualan terbaik dalam tempoh sembilan tahun.

Bagaimanapun, jualan November Proton berjumlah 11,316 unit, susut 13.1 peratus berbanding bulan sebelumnya kerana syarikat bergelut dengan isu bekalan sementara.

Pegangan pasaran Proton bagi November dianggarkan sebanyak 17.7 peratus dan untuk tahun ini, Proton mengekalkan pegangannya di kedudukan kedua dalam jadual jualan dengan 19.7 peratus daripada jumlah jualan kenderaan.

Selain itu, dianggarkan Jumlah Volum Industri (TIV) untuk tahun ini akan mencatat rekod dan menghampiri 700,000 unit setelah pasaran automotif Malaysia menikmati bulan keempat berturut-turut melebihi 60,000 jualan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, November merupakan bulan jualan penuh peristiwa kerana Proton mengalami beberapa isu bekalan sementara yang menghalang syarikat daripada mencapai potensi penuh.

“Selain daripada memberi manfaat kepada syarikat, peningkatan dalam jualan juga telah meningkatkan jumlah komponen yang dibeli daripada vendor tempatan, menambah bilangan pengedar kami dan mewujudkan pekerjaan untuk ekosistem automotif.

“Dengan pengenalan model baharu dalam perancangan untuk 2023, kami berharap dapat meningkatkan sumbangan kami kepada ekonomi Malaysia dengan membuat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport kami,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, lima model Proton telah melebihi jumlah volumnya dari 2021 dengan dua model, Proton X50 dan Proton Exora, menerajui segmen masing-masing sepanjang tahun.

Jualan eksport juga meningkat lebih 2,000 unit berbanding tahun sebelumnya kerana jualan YTD kini berjumlah 5,028 unit berbanding 3,018 bagi keseluruhan tahun sebelumnya.

Terdahulu, Proton meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember.

Pencapaian itu hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada April lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, barisan enjin baharu Proton adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat syarikat.

“Ia adalah antara barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran terkawal iklim dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya.

“Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin yang akan digunakan merentasi beberapa model Proton,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya