Industri sawit dijangka catat prestasi lebih baik 2023

Industri sawit dijangka catat prestasi lebih baik 2023

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Mi­nyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan prestasi industri sawit Malaysia yang lebih baik tahun ini akan berterusan sehingga 2023.

Menurut Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, ia didorong oleh beberapa faktor antaranya konflik berterusan Russia-Ukraine yang memberi impak rantaian bekalan minyak bunga matahari di seluruh dunia, menyebabkan lonjakan permintaan terhadap minyak sawit.

Selain itu katanya, kenaikan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent di pasaran dunia juga merupakan faktor penyumbang yang mungkin memberi kesan kepada prestasi minyak sawit Malaysia.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada RM5,100 satu tan untuk tahun ini, 15.7 peratus lebih tinggi berbanding RM4,407.00 satu tan pada 2021,” katanya dalam kenyataan.
Harga purata MSM bagi Januari hingga November 2022 ialah RM5,167 satu tan, mening­kat 18.4 peratus berbanding RM4,363 satu tan bagi tempoh yang sama pada 2021.

Ahmad Parveez berkata, harga MSM mengalami penurunan mulai suku ketiga tahun ini berikutan musim pengeluaran MSM yang tinggi, peningkatan stok minyak sawit dan penurunan harga minyak kacang soya.

“Justeru, kami menjangkakan harga MSM akan stabil pada purata RM3,800 satu tan pada 2023. Ini berdasarkan jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik terutama­nya pada separuh kedua tahun depan dan ketersediaan bekalan minyak sayuran utama yang lain yang dijangka lebih tinggi.

“Sementara itu, harga mi­nyak kacang soya yang dijangka rendah berikutan pengeluaran tinggi di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) juga dijangka memberi impak kepada harga MSM. Selain itu, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS juga dijangka menjejaskan harga MSM,” jelas beliau.

Tambah beliau, pengeluaran MSM dijangka meningkat sedikit sebanyak 2.1 peratus kepada 18.50 juta tan bagi tahun ini berbanding 18.12 juta tan pada 2021.

Katanya, pengeluaran minyak sawit dijangka akan pulih secara perlahan berikutan isu kekurangan buruh di ladang sawit, terutama untuk aktiviti penuaian dan pemunggahan buah tandan segar (BTS).

“Pengeluaran MSM diunjurkan terus meningkat kepada 19 juta tan bagi 2023 berikutan jangkaan peningkatan kawasan produktif terutama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Selain itu, situasi tenaga kerja mungkin stabil tahun depan kerana permohonan pekerja asing sedang diluluskan secara berperingkat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN