PETALING JAYA: Indeks harga seunit bahan binaan mencatatkan peningkatan antara 3.2 hingga 11.8 peratus pada November 2022 berbanding bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.
Ini termasuk indeks harga seunit besi dan keratan keluli serta logam yang meningkat masing-masing 3.4 peratus dan 4.6 peratus, manakala kayu dan simen meningkat masing-masing 1.7 peratus dan 1.1 peratus.
Sementara itu, bagi perbandingan tahun ke tahun, purata harga besi dan simen pula melonjak masing-masing 10.2 peratus dan 9.6 peratus pada November lalu.
Hal ini selari dengan laporan Utusan Malaysia sebelum ini mengenai lonjakan harga simen sehingga 30 peratus iaitu daripada RM17 setiap beg seberat 50 kilogram (kg) kepada RM22.50 sejak Oktober lalu.
Bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulanan mencatatkan penurunan purata harga beberapa bahan binaan terpilih seperti besi dan pasir berbanding Oktober 2022.
Ujarnya, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,599.34 bagi setiap tan metrik, mencatatkan penurunan 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya pada RM3,637.01 per tan metrik.
“Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan sedikit peningkatan 0.9 peratus iaitu RM20.88/50 kg berbanding RM20.70/50 kg pada bulan sebelumnya.
“Selain itu, purata harga batu baur adalah RM41.14/tan metrik meningkat 0.7 peratus berbanding RM40.83/tan metrik pada Oktober,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kawasan Semenanjung merekodkan peningkatan di antara 0.1 dan 1.9 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelumnya.
“Peningkatan indeks yang tertinggi adalah cerucuk kayu dan bangunan kayu bagi semua kawasan di Semenanjung. Bagi kawasan Sabah pula, IKB menunjukkan peningkatan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan antara 0.1 dan 2.4 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelumnya.
“Namun, terdapat penurunan indeks bagi kerangka besi setingkat (bangunan) dan kerangka besi setingkat (menara sahaja) di Kota Kinabalu dan Sandakan, manakala IKB di Sarawak menunjukkan peningkatan yang lebih rendah iaitu antara 0.1 dan 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan. – UTUSAN