SEREMBAN: Salah faham yang berlaku membabitkan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu diurus dengan baik.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang lebih utama ketika ini adalah untuk semua pihak dalam parti menumpukan usaha memperkasakan semula parti berkenaan.
Menurut beliau, tidak sepatutnya parti komponen BN iaitu UMNO, MCA dan MIC yang telah pun menjalinkan hubungan sejak puluhan tahun meluahkan ketidakpuasan hati antara satu sama lain secara terbuka.
“Dalam apa juga bentuk gabungan, baik suami isteri pun kadang-kadang ada pertelingkahan. Jadi kita tidak mahu pertelingkahan kecil ini akan menyebabkan persahabatan kita yang telah pun berpuluh tahun sejak ditubuhkan itu terjejas.
“Bukan sahaja semasa BN tetapi semasa perikatan dulu. MIC dan juga MCA merupakan parti tonggak kepada perikatan dan juga BN. Jadi, kita berharap supaya silap faham yang kecil-kecil ini kita urus dengan baik.
“Supaya keluarga BN ini masih mantap dan yang pentingnya kita mesti menumpukan usaha untuk memperkasakan semula BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, yang mendakwa dirinya dan MIC seolah-olah ditipu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Tapah itu mendakwa dijanjikan jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, selain meluahkan kekecewaan kerana MIC tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan.
Malah Saravanan juga memberi bayangan tidak perlu meneruskan kerjasama (keluar BN) jika tidak diperlukan.
Kenyataan dibuat Saravanan itu kemudian dibalas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di dalam media sosial yang seterusnya menjadi perbalahan.
Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan tidak ada gunanya parti-parti komponen saling menyalahkan antara satu sama lain kerana tindakan sedemikian hanya akan menggagalkan usaha memperkukuhkan semula BN.
“Saya harap supaya semua pihak stand down, supaya mereka bertenang dan lupakan tentang isu-isu tuduh-menuduh ini, agar yang pentingnya BN bangkit semula.
“Kalau nak bangkit, nak menang, kita buat cara nak menang. Bukan cara untuk melemahkan diri kita. Baik UMNO pun, pemimpin-pemimpin UMNO pun, elok kita tumpukan cara untuk memperkasakan parti daripada kita mendedahkan kelemahan dalaman parti kita,” katanya.-UTUSAN










