Pusat beli-belah lengang, imigresen gempur PATI

Pusat beli-belah lengang, imigresen gempur PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Sebuah pusat beli-belah sekitar Bandar Kajang yang menjadi tumpuan orang rami menjadi lengang selepas Jabatan Imigresen menggempur premis itu hari ini.

Menerusi operasi dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi mendapati beberapa premis dibiarkan kosong tanpa pekerja, malah sebuah restoran yang lazimnya dipenuhi pelanggan pada waktu puncak terpaksa ditutup kerana hampir semua pekerja mereka terdiri warga asing ditahan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen, Basri Othman berkata, seramai 534 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan 86 daripadanya disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, hasil semakan mendapati ramai warga asing yang tidak membawa dokumen perjalanan yang sepatutnya dibawa dan memberi pelbagai alasan apabila ditahan.

“Sepatutnya bawa (dokumen) yang original untuk memudahkan kita membuat pemeriksaan sebab yang salinan menyukarkan pemeriksaan di lapangan, jadi kita terpaksa bawa balik (tahan).

“Ramai yang beri alasan takut pekerja lari, tetapi pasport adalah hak individu, jadi majikan dinasihatkan membenarkan pekerja sekurang-kurangnya membawa i-Kad yang dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi di sini hari ini.

Selain itu, satu lagi operasi dilakukan di Sungai Tangkas, Bangi sebelum seramai 45 warga asing disyaki PATI ditahan.

Katanya, keseluruhannya 131 PATI ditahan dalam dua operasi terbabit kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, PATI terbabit bekerja antaranya di kedai-kedai makan, restoran, kedai serbaneka, dan kedai telefon di sekitar kawasan berkenaan.

Kesemua warga asing ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Malaysia 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Seorang pengurus restoran ketika ditemui turut mengeluh apabila salah pekerja warga asing bawah seliaannya ditahan kerana tidak membawa dokumen perjalanan yang sah.

”Semua kena angkut, pekerja saya semua ada permit tetapi mereka tak bawa yang original, kita bagi yang salinan sahaja.
“Saya sudah terangkan kepada mereka (JIM), tetapi tak mahu dengar, mereka semua ada permit sah cuma kita tak bagi pegang sebab takut mereka lari,” katanya.

Selain itu, seorang pengurus sebuah farmasi turut mengeluh apabila salah seorang pekerja warga asing bawah seliaannya ditahan kerana tidak membawa dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, pekerja warga Nepal berkenaan memiliki permit sah tetapi atas dasar polisi syarikat semua pekerja warga asing hanya diberikan salinan sahaja.

“Dia (pekerja) sepatutnya masuk kerja sekejap lagi, tetapi kena tahan pula, pasport dia ada pada syarikat, memang polisi syarikat tak bagi pekerja asing pegang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN