PETALING JAYA: Seramai 8,000 peserta dengan penyertaan daripada lebih 34 negara bakal memeriahkan acara larian PJ Half Marathon edisi ke-35, pada 17 Ogos ini di Dataran Petaling Jaya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, acara ikonik itu terus mendapat sambutan luar biasa daripada pelari tempatan mahupun antarabangsa sejak kali pertama diperkenalkan.
“PJ Half Marathon merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh komuniti pelari. Tahun ini kita menerima penyertaan daripada 8,000 peserta, termasuk 250 pelari antarabangsa daripada 34 buah negara,” katanya dalam sidang akhbar PJ Half Marathon 2025 di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.
Menariknya, acara edisi kali ini menampilkan lima kategori utama iaitu 30 kilometer (km), 21km, 10km, 5km serta 1km bertemakan kostum, sekali gus menawarkan pilihan kepada pelari pelbagai peringkat kemampuan.
Tambah Zahri, kategori 30km yang pada asalnya diperkenalkan ketika edisi ke-30 sebelum ini, terus dikekalkan atas permintaan peserta yang bersedia menyahut cabaran larian lebih jauh daripada jarak separa maraton.
“Kami terus mengekalkan kategori 30km kerana sambutannya sangat menggalakkan walaupun acara ini hanya berstatus separa maraton. Malah, bilangan peserta dalam kategori ini melebihi penyertaan 21km.
“Saya amat yakin bahawa Petaling Jaya mampu menganjurkan acara maraton penuh pada masa akan datang,” katanya.
Penganjuran kali ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Puncak Ventures SRA Sdn Bhd, Persatuan Olahraga PARA Selangor (POPS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aspek keselamatan peserta terjamin.
PJ Half Marathon turut berkolaborasi dengan Tourism Selangor bagi menjayakan dan menyemarakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).-UTUSAN










