2 pasangan suami isteri didakwa gubah wang haram lebih RM7.2j

SC dakwa dua pasangan suami isteri gubah wang haram berjumlah lebih RM7.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7.2 juta.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kedua-dua pasangan itu, Mohamad Afiq Md Isa dan isterinya, Natasha Mohamed Taufek serta Tan Soon Hin dan isteri, Teh An See, dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SC berkata, Mohamad Afiq dan Natasha, masing-masing berusia 34 tahun, dikenakan pertuduhan membabitkan lebih RM1.2 juta antara Mei 2020 dan Oktober 2021.

Mohamad Afiq dituduh semalam dan menghadapi lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, iaitu nasihat pelaburan tidak berlesen.

“Pada masa material, Mohamad Afiq merupakan pemilik tunggal Pelham Blue Enterprise (PBE) dan pengarah serta pemegang saham PBF Resources Sdn. Bhd. (PBF). PBE dan platform media sosialnya, Pelham Blue Fund telah dimasukkan dalam Senarai Makluman Pelabur SC pada 2021.

“Natasha, dikenakan satu pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang. Mohamad Afiq dan Natasha mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut SC, Hakim Kamarudin Kamsun telah membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Natasha dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim juga telah membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin kepada Mohamad Afiq yang turut diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

Dalam kes berasingan, SC hari ini mendakwa Tan dan Teh, kedua-duanya berusia 43 tahun, atas 10 pertuduhan gubahan wang haram membabitkan lebih RM6 juta antara Januari 2020 hingga November 2021.

Tan menghadapi lima pertuduhan di bawah AMLATFPUAA. Tertuduh telah dimasukkan dalam Senarai Makluman Pelabur SC pada 2019.

Teh pula yang merupakan pemilik tunggal Miracle Fortune Trends Enterprise, menghadapi lima pertuduhan di bawah akta yang sama. Beliau juga merupakan pengarah dan pemegang saham tunggal Fickle Sdn. Bhd.

“Tan dan Teh turut mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan. Hakim M Bakri Abd. Majid membenarkan ikat jamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin kepada Tan. Manakala di mahkamah lain, Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin kepada Teh.

“Tan dan Teh diperintahkan untuk menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

“Jika sabit kesalahan, keempat-empat tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang diperoleh daripada pengubahan wang haram, atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi,” jelas SC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN