PRU15: Pasaran terus tidak menentu

PRU15: Pasaran terus tidak menentu

KENDERAAN melintasi deretan bendera parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini ketika tinjauan di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semlam. – Utusan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran Bursa Malaysia terus tidak menentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini dengan para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati berikutan ramalan banyak pihak bahawa kerajaan dengan majoriti mudah sukar dibentuk.

Bursa Malaysia menerus trend kejatuhan minggu ini dengan setakat pukul 4 petang semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.93 mata kepada 1,442.61 daripada penutup 1,450.54 kelmarin.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 529 berbanding 295, sementara 369 kaunter tidak berubah dan 1,132 lagi kaunter tidak didagangkan, dengan volum 1.78 bilion bernilai RM1.132 bilion.

Menurut laporan Bloomberg, indeks penanda aras Bursa Malaysia telah melantun semula selepas jatuh ke paras terendah lebih dua tahun pada Oktober tetapi kekal 23 peratus di bawah rekod tertinggi pada April 2018.

Penganalisis ekonomi berkata, syarikat-syarikat pengeluar makanan seperti Fraser & Neave Holdings Bhd. dilihat menerima manfaat besar sepanjang tempoh berkempen PRU15 disebabkan peningkatan permintaan kepada produk makanan dan minuman.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat, syarikat-syarikat besar boleh mendapat manfaat daripada aliran masuk modal sekiranya keputusan pilihan raya membawa kepada persekitaran politik yang stabil.

Namun, perkembangan sebaliknya akan berlaku sekiranya tiada mana-mana gabungan mampu membentuk kerajaan yang stabil, sehingga memaksa kerajaan campuran dibentuk, dan dikhuatiri boleh mewujudkan kembali situasi seperti selepas PRU14, menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang lima tahun.

Pada PRU15, kira-kira 21 juta pengundi bakal memilih parti yang akan membentuk kerajaan, dengan 945 calon bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen.

Persoalan gabungan parti mana yang boleh membentuk kerajaan kukuh semakin me­ningkat, mengambil kira terdapat lebih satu juta pengundi muda yang akan memilih buat kali pertama.

Pengundi-pengundi khusus­nya pengundi muda dikatakan melihat gabungan parti mana yang mampu menawarkan penyelesaian terbaik kepada isu yang menjadi kebimbangan mereka pada masa kini seperti kenaikan kos hidup yang semakin tinggi, inflasi dan peluang pekerjaan.

Menurut pakar ekonomi, keputusan PRU15 bakal memberi impak kepada pemulihan ekonomi negara berikutan sentimen berhati-hati para pelabur dengan situasi politik negara yang berubah-ubah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan tarikh mengundi buat rakyat Malaysia yang berbaki dua hari lagi, para pelabur memerhatikan PRU15 dengan penuh minat ke­rana mereka tidak mahu kerajaan yang berubah-ubah seperti selepas keputusan PRU14 lalu.

Ujarnya, perubahan pentadbiran kerajaan sehingga menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang lima tahun sememangnya memberi impak kepada keyakinan para pelabur.

“Apa yang telah berlaku memberi kesan dalam keyakinan pelabur dan perancangan perniagaan mereka, bukan sahaja pelabur luar malah turut melibatkan pelabur tempatan.

“Sentimen keyakinan yang merosot itu jelas dapat dilihat dalam prestasi Bursa Malaysia dan turun naik nilai mata wang ringgit itu sendiri.

“Kita juga boleh mengukur jumlah pelaburan asing di negara kita berbanding dengan negara-negara jiran dalam tempoh lima tahun yang lalu. Mungkin jumlahnya kelihatan besar tetapi jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan di negara-negara ASEAN yang lain, kita masih terus ketinggalan,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi menjelaskan, selain kesan PRU15, tindakan pasaran modal dunia seperti Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan kadar faedahnya turut memberi kesan kepada mata wang dan bursa saham tempatan.

“Justeru tidak semuanya perlu dikaitkan dengan kancah politik negara sahaja. Selain itu, pandemik Covid-19 juga sememangnya memberi kesan besar kepada ekonomi, kesihatan dan keadaan politik itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN