PETALING JAYA: Profesor Kejuruteraan Elektrikal Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Profesor Dr. M A Hannan mendapat pengiktirafan sebagai saintis paling berpengaruh di dunia daripada Clarivate Analytics melalui laporan Highly Cited
Researchers™ 2022.
Menurut kenyataan UNITEN, beliau menerima pengiktirafan itu hasil penerbitan kajian yang signifikan dalam bidang kejuruteraan terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, serta tersenarai dalam kedudukan teratas satu peratus sitasi (Top 1 peratus) dalam tempoh 11 tahun iaitu dari Januari 2011 hingga Disember 2021.
Jelasnya, Dr. M A Hannan secara konsisten telah menerbitkan 255 artikel yang di indeks Web of Science dengan jumlah sitasi 7,911 dan merupakan antara penyelidik yang terhebat daripada 69 negara yang mendapat pengiktirafan tersebut.
Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Dr. M A Hannan kerana berjaya meletakkan UNITEN di persada global dalam kecemerlangan penyelidikan saintifik yang membawa kebanggaan kepada universiti dan negara.
“Senarai Saintis Paling Berpengaruh Dunia itu telah disusun oleh pakar bibliometrik dari Institut Maklumat Saintifik, Clarivate.
“Ia menggunakan InCites Benchmarking & Analytics™, Essential Science Indicators™ dan kompilasi unik metrik prestasi sains dan tren data berdasarkan kiraan penerbitan kertas ilmiah dan data sitasi daripada Web of Science™, iaitu platform kepakaran penyelidikan dan penerbit indeks sitasi terbesar di dunia,” katanya.
UNITEN merupakan sebuah Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mempunyai dua kampus iaitu di Putrajaya (kampus utama) dan di Bandar Muadzam Shah, Pahang. – UTUSAN









